I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, November 1, 2014

Ramalan Karangan SPM 2014-Cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik by Sir Henry (FOC)

Kecemerlangan akademik menjadi impian semua pelajar namun masih banyak yang gagal mencapainya.


Huraikan cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik itu.

Kecemerlangan akademik merujuk kejayaan yang diperoleh oleh pelajar di sekolah. Walaupun ada pihak yang merujuk kejayaan ini dalam bidang akademik sahaja tetapi ada juga yang melihat meliputi aspek yang jauh lebih luas seperti bidang kokurikulum itu. Pihak media massa sering mengkritik pihak sekolah yang hanya berjaya melahirkan pelajar yang bagus dalam peperiksaan tetapi masih gagal menyerlah dalam bidang yang lain pula. Jadi, apakah kaedah-kaedah yang boleh dilakukan oleh seseorang pelajar dalam usaha mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik itu?

Tindakan pertama ialah pelajar perlulah melakukan ulang kaji yang kerap terutama subjek yang sukar buat mereka itu. Amalan ini boleh dilakukan ketika berada di kawasan sekolah dan juga ketika di rumah pada bila-bila masa terluang tersebut. Kekerapan melakukan ulang kaji memudahkan pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam lalu tidak akan mengalami sebarang masalah ketika menghadapi peperiksaan kelak. Lantaran itu, kecemerlangan akademik boleh diperoleh apabila pelajar sering melakukan amalan menelaah bahan pendidikan mereka itu.

Selain itu, pelajar yang bermatlamat tinggi untuk memperoleh kejayaan dalam akademik mereka hendaklah memberikan tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran guru di sekolah. Mereka mestilah bersedia mendengar dan menyalin semua bahan pendidikan yang disuarakan oleh guru tanpa banyak alasan pula. Tindakan memberikan fokus ketika guru mengajar di kelas memudahkan pelajar untuk mengetahui bahagian penting sesuatu topik apabila diberi penekanan oleh pihak guru itu. Akibatnya, pelajar akan berjaya menjawab semua soalan peperiksaan dengan mudah kerana mereka mendengar semua penerangan guru tanpa ada perasaan prejudis itu.

Tambahan pula, kejayaan dalam akademik menjadi lebih holistik apabila pelajar terbabit menyertai semua aktiviti kokurikulum mereka. Pelajar yang berfikiran positif akan melibatkan diri dalam aktiviti persatuan, pasukan beruniform, sukan dan sebagainya dalam usaha menjadikan diri mereka serba boleh dalam pelbagai perkara di sekolah. Penglibatan pelajar dalam kokurikulum juga berupaya untuk merehatkan minda mereka daripada terkongkong oleh amalan membaca buku akademik sahaja lalu memberikan satu ketenangan minda. Sesungguhnya, banyaj pelajar yang berjaya dalam akademik turut melibatkan diri secara serius dalam pelbagai kegiatabn korikulum di sekolah mereka.

Kejayaan dalam akademik turut mampu diraih oleh pelajar apabila mereka tidak terlibat dalam sebarang kesalahan yang melanggar disiplin sekolah. Golongan sebegini akan mematuhi semua disiplin yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti tidak merokok, tidak ponteng sekolah, tidak berambut panjang, dan sebagainya dengan penuh jiwa raga mereka. Kemampuan memastikan diri mereka tidak terlibat dalam kegiatan negatif ini menjadikan minda dan fokus pelajar tidak terganggu dalam mencapai kejayaan akademik itu. Ringkasnya, pelajar yang berjaya dalam akademik mesti mematuhi disiplin sekolah kerana mereka tidak mahu isu disiplin menganggu persiapan mereka dalam mencapai kejayaan dalam peperiksaan kelak.

Kajian juga telah membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam akademik banyak ditentukan dengan tahap interaksi mereka dengan rakan dan guru di sekolah. Hubungan yang lebih mesra dan harmoni sesama pelajar lain dan guru akan menjadikan jiwa pelajar lebih tenteram lalu mudah menerima pelajaran guru. Kewujudan interaksi dengan guru juga membolehkan pihak guru memberikan tumpuan peribadi kepada pelajar berdasarkan kemampuan mereka dalam sesuatu subjek tersebut sehingga berjaya. Maka, semakin rapat hubungan pelajar terbabit dengan rakan dan guru semakin tinggilah peluang untuk dirinya berjaya dalam bidang akademik.



Konklusinya, semua tindakan yang dihuraikan tadi boleh dilakukan oleh semua pelajar yang mahu mencapai kejayaan dalam akademik mereka. Pelajar harus sedar dan memahami bahawa kejayaan akademik penting supaya kehidupan masa depan mereka lebih terjamin dan cerah pula. Kegagalan memperoleh kejayaan akademik di sekolah boleh membawa satu dugaan kehidupan yang maha besar kepada pelajar tersebut. Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan yang membuktikan bahawa usaha untuk berjaya terletak pada tangan pelajar tersebut.

No comments:

Post a Comment