Kerajaan mewajibkan program 1Murid1Sukan di setiap sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.
Aktiviti sukan dilihat sebagai satu aktiviti riadah yang baik untuk pelajar di sekolah. Antara aktiviti yang positif ini meliputi acara larian, bola sepak, hoki, badminton, dan sebagainya. Pihak media massa turut menyiarkan banyak bahan berita yang menekankan peri pentingnya sukan dalam kehidupan pelajar yang penuh tekanan itu. Lantaran itu, pelajar yang menyertai aktiviti sukan akan memperoleh pelbagai kesan baik.
Impak positif yang pertama melibatkan masa lapang pelajar berkenaan dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah. Pelajar tidak akan bercampur dengan golongan yang tidak bermoral kerana aktiviti sukan dijalankan di kawasan sekolah dengan pengawasan pihak guru pula. Masa untuk menghabiskan sesuatu acara sukan itu juga memerlukan tempoh yang lama seperti bola sepak yang pastinya mengambil masa sejam lebih. Jadi, pelajar yang terlibat dalam acara sukan akan memenuhkan masa lapangnya dengan baik.
Selain itu, pelajar yang sering menyertai aktiviti sukan dikatakan lebih sihat berbanding dengan pelajar yang melakukan sebarang aktiviti senaman itu. Sukan memerlukan tenaga dan pelajar pasti akan berpeluh apabila melakukan acara sukan seperti hoki dan badminton itu. Peluh yang keluar ini turut menyingkirkan toksik badan selain mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar itu. Jelaslah, pelajar akan sihat kerana masa tidur mereka juga terjaga kerana sudah keletihan menjalani latihan sukan di sekolah itu.
Malah, pemupukan nilai-nilai murni turut berlaku apabila seseorang pelajar itu menyertai aktiviti sukan di sekolah. Nilai murni seperti bekerjasama, berbincang, berfikir secara kritis dan bersemangat juang pasti tertanam kerana semua nilai ini diperlukan dalam sebarang acara sukan itu. Pelajar yang sudah selalu menyertai sukan akan turut mengamalkan nilai sebegini dalam kehidupan harian mereka yang penuh dengan dugaan itu. Jadi, nilai-nilai murni dapat dipupuk jika pelajar menyertai acara sukan di sekolah.
Malahan, pelajar yang berbakat dalam acara sukan ini juga boleh menjadi pasukan pelapis kepada atlet negara pada masa hadapan. Usia yang masih muda dan peluang untuk dilatih dalam tempoh tertentu menjadikan pelajar calon terbaik untuk meneruskan kegemilangan pasukan negara dalam acara sukan akan terus berlaku. Mereka apabila mencapai umur tertentu pula akan bertanding untuk memastikan imej sukan negara terus terpelihara. Maka, pelajar yang menyertai acara sukan boleh dilihat sebagai berpotensi untuk mewakili negara pada masa hadapan pula.
Sukan juga dilihat sebagai satu kaedah psikologi untuk memberikan keyakinan kepada diri pelajar itu. Acara sukan memerlukan pelajar berinteraksi dan melakukan sesuatu yang diluar kemampuan biasa mereka itu terutama ketika bersaing dalam pertandingan sukan. Kejayaan pelajar melakukan sesuatu yang luar biasa dalam sukan boleh memberikan mereka satu keyakinan bahawa diri mereka bagus dalam sesuatu perkara itu. Sesungguhnya, pelajar akan melihat diri mereka dengan berbeza setelah menyedari potensi diri mereka menerusi acara sukan yang disertai itu.
Kesimpulannya, semua impak positif tadi memang boleh dialami oleh pelajar kita yang menyertai acara sukan tersebut. Ibu bapa hendaklah memberikan sokongan yang padu kepada anak mereka agar melibatkan diri dalam acara sebegini. Sukan tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membazirkan masa dan tenaga sahaja kerana kejayaan pelajar tidak harus diukur berdasarkan kejayaan dalam akademik sahaja bersesuaian dengan slogan badan cergas, otak cerdas. Sudah sampai masanya kita melihat sukan sebagai satu komponen utama dalam usaha memajukan sistem pendidikan negara itu.
No comments:
Post a Comment