I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, November 1, 2014

Ramalan Karangan SPM 2014-Amalan gaya hidup sihat masyarakat kita by Sir Henry (FOC)

Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat  dalam usaha menjaga kesihatan diri.

Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.

Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak kehidupan yang baik dalam diri seseorang itu. Antara contoh gaya hidup sihat ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala. Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu kehidupan yang sihat.  Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu. Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya. Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.

Malah, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi, rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh badan manusia.

Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya, minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak ini.


Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gay a hidup yang sihat boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia yang ingin sejahtera kehidupannya.

No comments:

Post a Comment