Yang saya Muliakan Tuan 
Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Puan Syuhada Binti Ismail,Pengetua 
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Merah,Yang Dihormati Puan 
Rohani Binti Abdullah,Guru Penolong Kanan,Puan Aisyah Binti Ghani,Guru 
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,barisan panel hakim yang sentiasa 
berteraskan panji-panji keadilan,guru-guru yang dikasihi serta 
rakan-rakan sekalian.
Assalamualaikum dan selamat pagi saya ucapkan.
         Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat 
Ilahi kerana dengan limpah kurnianya serta keizinanNya dapat saya 
berdiri di sini bagi menyampaikan syarahan saya dalam suasana yang 
sakinah pada pagi ini.Saya,Nur Humaira dari Tingkatan Lima Ceria telah 
memilih tajuk 'Dadah Musuh Negara'.Tajuk syarahan saya pada pagi ini 
sangatlah bersesuaian dengan isu penyalahgunaan dadah yang tidak 
berkesudahan dan semakin banyak menghiasi lembaran akhbar pada masa ini.
Hadirin yang saya muliakan,
          Pada abad ke-21 ini,Malaysia merupakan negara yang pesat 
membangun dan bersedia menongkah arus pemodenan dalam dunia maju 
ini.Kini,Malaysia sangat terkenal pada mata dunia malah mampu berdiri 
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain yang telah turut 
mengukir nama pada mata dunia.Namun,di sebalik kegemilangan 
ini,masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah 
lama bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu penyalahgunaan 
dadah.Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah mencatatkan 
bahawa dari tahun 1988 sehingga tahun 2005 terdapat seramai 289,763 
orang penagih dadah.Bilangan tersebut sudah pasti membimbangkan banyak 
pihak.
        Menurut Kamus Dewan,Edisi Keempat,dadah boleh ditakrifkan 
sebagai  ubat-ubatan atau bahan seperti ganja,heroin,marijuana,dan 
sebagainya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang 
menggunakannya.Dari segi perspektif Islam pula,dadah dikategorikan 
sebagai sejenis khamar.Khamar merupakan istilah yang digunakan di dalam 
kitab suci Al-Quran yang membawa maksud arak.Dadah dianggap sebagai 
khamar kerana fungsi kedua-duanya yang boleh menyebabkan kemabukan atau 
menjejaskan kewarasan akal fikiran.Apabila berbicara mengenai isu 
penyalahgunaan dadah,kenyataan yang pahit untuk diterima adalah hakikat 
bahawa remaja merupakan antara golongan yang terjerumus ke dalam gejala 
ini.Sememangnya dadah wajar dikatakan sebagai musuh negara kerana dadah 
mampu mengheret remaja ke kancah penghinaan dan kehancuran sekaligus 
meranapkan masa depan negara yang mempertaruhkan nasibnya di tangan 
remaja.Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah diambil bagi membendung 
masalah yang bersifat global ini.Namun begitu,sehingga kini gendang 
kemenangan masih belum kedengaran. Persoalannya,pernahkah kita renungkan
 nasib bangsa pada masa akan datang sekiranya masalah ini berlanjutan 
tanpa titik noktahnya?
Hadirin sekalian,
               Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa dadah 
mengundang banyak kesan negatif kepada individu yang 
menyalahgunakannya.Perubahan yang ketara dapat dilihat dari segi fizikal
 penagih dadah.Dadah akan bertindak mengubah fungsi biologi pada sistem 
tubuh seseorang.Misalnya,individu yang ketagihan dadah akan menghadapi 
masalah pernafasan iaitu kadar pernafasan akan menjadi pendek dan 
perlahan.Justeru,keadaan ini secara langsung akan menjejaskan bekalan 
oksigen kepada sel-sel di dalam badan.Selain itu,sistem 
saraf,jantung,metabolisme,dan otot-otot badan turut terjejas dengan 
pengambilan dadah yang berterusan.Kadar degupan jantung akan berkurangan
 malah tubuh penagih dadah akan menggigil akibat penurunan kadar 
metabolisme.Otot-otot badan penagih dadah juga akan mengecut dan 
akhirnya menyebabkan tubuh menjadi lesu dan tidak bermaya.Individu yang 
menghambakan diri kepada najis dadah mempunyai risiko yang sangat tinggi
 menghidap penyakit seperti meningitis,tetanus,endokarditis,AIDS,dan 
Hepatitis B.Secara keseluruhannya,tubuh badan seseorang yang menagih 
dadah akan mengalami implikasi yang sangat teruk akibat daripada 
perbuatan individu itu sendiri.Hal ini sangat bertentangan dengan 
perintah Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah,ayat 195 yang 
bermaksud,"Janganlah kamu lemparkan diri ke dalam kebinasaan dan berbuat
 baiklah.Sesungguhnya,Allah S.W.T. mengasihi orang-orang yang berbuat 
baik".Dalil ini jelas menunjukkan pengharaman ke atas manusia 
menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang membawa kebinasaan kepada
 tubuh badan mereka sendiri.Justeru,setiap individu wajib menjauhi dadah
 untuk kebaikan diri mereka sendiri.
              Keadaan mental dan emosi turut menerima kesan negatif 
akibat penyalahgunaan dadah.Kesan ke atas mental dan emosi lazimnya 
dikenali sebagai kesan psikologi,iaitu kesan pengaruh dadah pada otak 
dan minda.Ini termasuklah rasa seronok dan khayal atau euforia yang 
dialami penagih dadah.Mereka seakan-akan tidak berpijjak di alam 
nyata.Pada masa yang sama,sesesorang itu akan hilang kawalan diri dan 
pemikiran.Perwatakan seseorang penagih dadah turut akan berubah.Mereka 
juga tidak akan berasa segan silu untuk melakukan perkara yang aib serta
 tidak mempunyai rasa tanggungjawab.Mereka akan terus berada dalam 
keadaan yang sebegini selagi dadah masih terdapat di dalam badan 
mereka.Malah semakin lama seseorang itu menagih dadah,lebih banyak pula 
jumlah dadah yang diperlukan untuk mendapatkan kesan euforia.Fenomena 
ini disebut sebagai toleran atau keadaan lali yang mana kesan euforia 
daripada dadah berkurangan apabila digunakan secara berulangkali.Inilah 
yang menyebabkan seseorang itu tidak putus mencari dan meningkatkan 
penggunaan dadah.Sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh,mereka akan 
berasa gelisah,tidak dapat memberi tumpuan,dan amat menderita.Mereka 
cenderung untuk bertindak ganas dan hilang kawalan 
diri.Natijahnya,mereka boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan 
tatasusila dan peradaban masyarakat.Keadaan mental seseorang penagih 
dadah sangat sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala.Bertunjangkan 
lontaran fikiran yang telah saya utarakan,kita dapat melihat sebab 
pengharaman dadah menurut Islam.Imam Ahmad Bin Hanbal telah meriwayatkan
 dalam musnadnya bahawa Rasulullah S.A.W. melarang segala sesuatu yang 
memabukkan dan mengkhayalkan.Justeru,jelaslah kepada kita bahawa dadah 
boleh merosakkan kewarasan akal fikiran sekaligus mengaburi kemuliaan 
diri sendiri sebagai manusia di muka bumi ini.
Hadirin sekalian,
                 Penyalahgunaan dadah bukan sahaja membawa kesan buruk 
kepada penagih dadah itu sendiri,malah juga kepada keluarga.Individu 
yang menagih dadah akan mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.Mereka
 tidak akan menghiraukan keadaan di sekeliling mereka termasuk keluarga 
sendiri.Akibatnya nilai-nilai kasih sayang antara ahli keluarga akan 
semakin terhakis dan akhirnya keluarga akan berpecah-belah.Selain 
itu,keluarga juga akan melalui tekanan yang berat,konflik,dan 
kebimbangan kerana ingin melindungi ahli keluarga daripada kemudaratan 
dan kerosakan yang dibawa oleh ahli keluarga yang terjerumus ke dalam 
gejala dadah.Lebih teruk lagi,penyalahgunaan dadah akan lebih 
menjejaskan golongan kanak-kanak dalam keluarga.Misalnya,ibu atau bapa 
yang ketagihan dadah akan menyebabkan anak-anak terbiar.Anak-anak juga 
tidak akan dapat merasai belaian kasih sayang dan dakapan mesra daripada
 ibu bapa mereka.Akibatnya,mereka akan berasa terpinggir dan cenderung 
untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.Hal ini sekaligus meranapkan 
harapan negara yang beraspirasi untuk melahirkan generasi yang 
berwawasan.Walaupun institusi keluarga merupakan agen sosial yang 
terkecil dalam masyarakat,namun impak negatif yang diterima mampu 
menghancurkan sesebuah negara.Oleh itu,masalah yang menjadi kudis dalam 
masyarakat ini tidak wajar dipandang enteng malah sebaliknya perlu 
dibendung dengan segera.
              Di Samping itu,jenayah akan terus bermaharajalela akibat 
penyalahgunaan dadah.Masyarakat tidak lagi akan dapat menikmati suasana 
kehidupan yang harmoni sekiranya dikelilingi manusia yang menjadi hamba 
kepada dadah.Individu yang menagih dadah tidak akan dapat berhenti 
daripada menggunakan dadah dan akan terus berusaha mencari dadah walau 
dengan apa cara sekalipun.Mereka sanggup mencederakan orang lain asalkan
 mereka dapat memiliki dadah dan terus berada di dalam dunia mereka 
sendiri.Banyak kes jenayah yang melibatkan penagih dadah telah 
dilaporkan oleh pihak berkuasa.Jenayah seperti 
merompak,mencuri,meragut,mahupun membunuh sanggup dilakukan oleh 
mereka.Lebih menyedihkan lagi,ada anak yang sanggup membunuh ibu sendiri
 hanya semata-mata kerana gagal mendapat wang untuk membeli 
dadah.Justeru,masalah yang dicetuskan oleh penagih dadah ini menjadikan 
masyarakat terpaksa hidup dalam ketakutan.Akibatnya masyarakat akan 
menjadi semakin mundur kerana tidak dapat meluaskan horizon pemikiran 
dan bersatu ke arah membangunkan masyarakat.Oleh itu,masalah 
penyalahgunaan dadah perlu turut diberi perhatian oleh masyarakat supaya
 dapat membanteras dadah dalam masyarakat.
Hadirin yang saya muliakan,
                Pada masa yang sama,negara turut menerima implikasi yang
 negatif akibat penyalahgunaan dadah.Kini,banyak pusat pemulihan penagih
 dadah yang telah ditubuhkan di Malaysia.Sudah semestinya kerajaan telah
 memperuntukkan jumlah wang yang sangat besar untuk membantu mereka yang
 telah terjebak ke dalam gejala dadah supaya pulih daripada ketagihan 
dadah.Sememangnya sukar bagi penagih dadah untuk melepaskan diri 
daripada belenggu dadah dan menjalani kehidupan seperti 
biasa.Justeru,boleh dikatakan bahawa negara terpaksa memikul tugas yang 
berat di samping menanggung kerugian kerana terpaksa mengeluarkan jumlah
 wang yang sangat besar dalam usaha melahirkan negara yang bebas 
dadah.Selain itu,negara juga akan kehilangan sumber tenaga kerja yang 
produktif.Sebagaimana yang kita ketahui,seseorang yang ketagihan dadah 
tidak akan mempunyai rasa tanggungjawab.Oleh itu,sudah pasti mereka 
tidak akan dapat memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas atau kerja
 yang telah diamanahkan kepada mereka.Akhirnya,negara akan kekurangan 
tenaga kerja yang produktif yang pada hakikatnya sangat diperlukan dalam
 membangunkan ekonomi negara.Justeru,jelaslah kepada kita bahawa negara 
turut menerima impak negatif yang tercetus akibat daripada 
penyalahgunaan dadah.
        Akhir sekali,sememangnya banyak kesan buruk yang dibawa oleh 
masalah penyalahgunaan dadah kepada individu,keluarga,masyarakat,mahupun
 negara.Semua pihak sewajarnya berganding bahu bagi memastikan gejala 
ini dapat dibendung agar tidak menjadi satu wabak yang terus bernanah 
dalam masyarakat.Isu penyalahgunaan dadah ini sememangnya boleh 
ditangani andainya terdapat sinergi daripada semua pihak kerana di mana 
ada kemahuan di situ ada jalan.Sebagai anak bangsa yang menjadi aset 
penting dan kebanggaan negara,kita seyogianya merealisasikan misi untuk 
mencipta peradaban baru yang sudah pasti akan disanjung tinggi dan 
diagung-agungkan oleh masyarakat dunia.Ayuh,kita bangkit bersama-sama ke
 arah hidup yang sejahtera tanpa terlibat dengan najis dadah yang boleh 
mencemarkan diri,keluarga,dan bangsa.Jangan kita abaikan peringatan Nabi
 Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan 
menjauhi perkara yang boleh memberi kemudaratan.Walaupun usaha bagi 
mencapai matlamat Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang 
berbudaya penyayang,masyarakat yang berjiwa bebas daripada cengkaman 
anasir-anasir jahat,tenteram,dan berkeyakinan hanyalah prakarsa kecil ke
 arah menangani masalah sosial,namun natijahnya mampu mengembalikan imej
 dan jati diri sesebuah bangsa itu sendiri.
Sekian,terima kasih.
Sekian,terima kasih.
No comments:
Post a Comment