I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, October 27, 2014

Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa



Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan.. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru,  jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya  untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.  Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
        Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi  dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu  Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi  sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan.  Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam  pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
        Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.
        Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya.  Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

No comments:

Post a Comment