Pelaburan
 asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah 
negara. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan
 bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini? 
                Pelaburan
 asing merupakan nadi penggerak sesebuah negara. Faktor utama yang 
menyebabkan peranan pelaburan asing kian penting dewasa ini ialah 
keupayaan kegiatan ini meningkatkan pendapatan negara. Pelaburan
 asing bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga 
meningkatkan guna tenaga dalam kalangan para pekerja. Tambahan pula, 
pelaburan asing merupakan salah satu cara yang paling mudah dan 
menjimatkan pembiayaan penghantaran rakyat ke luar negara untuk 
memperoleh kepakaran serta kemahiran. Hal ini disebabkan pelaburan asing
 sebenarnya mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dalam 
pelbagai aktiviti ekonomi. Negara-negara pelabur lazim di negara kita 
ialah Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Taiwan, Singapura, dan Hong Kong.    Buktinya pelabur asing Jepun menyumbangkan lebih daripada RM300 billion kepada pendapatan negara kita.   Rentetan itu, kerajaan Malaysia amat menggalakkan pelaburan asing secara langsung di negara ini.   Persoalannya, apakah langkah yang perlu dijalankan oleh negara Malaysia bagi menarik pelaburan asing ? 
                Kestabilan
 politik merupakan kunci utama dalam usaha menggalakkan pelaburan asing.
 Kestabilan politik Malaysia sejak 1970-an masih terpelihara hingga 
sekarang.     Meskipun tanah 
Indonesia adalah murah bahkan terdapat bekalan kerja yang murah belaka, 
namun Indonesia sentiasa huru-hara disebabkan oleh rusuhan kaum.    Rakyat Indonesia berpecah-belah berbanding  rakyat Malaysia yang bersatu-padu walhal terdiri daripada berbilang kaum.    Pemimpin
 negara-negara sedang membangun yang lain seperti Indonesia dan Filipina
 sentiasa bertukar tetapi keadaan politik mereka tetap sama seperti 
asal.    Sistem pemerintahan demokrasi Malaysia mengamalkan dasar terbuka bagi para pengilang.    Semasa
 kegawatan ekonomi melanda dunia pada tahun 1997, Malaysia masih berjaya
 mengadakan Sukan Komanwell dengan jayanya pada tahun 1998.    Kemampuan
 bekas Perdana Menteri Malaysia yakni Tun Dr. Mahathir Mohammad mengawal
 ekonomi negara amat dikagumi masyarakat Malaysia dan seantero dunia.    Beliau
 telah menetapkan RM3.50 kepada satu dolar Amerika Syarikat dan langkah 
tersebut telah berjaya menyelamatkan Malaysia daripada turut berhutang 
dengan International Monetary Fund (IMF).     Kebolehan
 Malaysia melalui tempoh kegawatan ekonomi malah menjadi negara sedang 
membangun yang paling maju di seluruh dunia meyakinkan para pelabur 
asing tentang potensi Malaysia sebagai pusat pelaburan mereka.
                Di samping itu, hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi mewujudkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara lain.    Hubungan
 bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang 
Dipertuan Agong, Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan Antarabangasa 
ke negara-negara lain.    Contohnya baru-baru ini  Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan  ke Arab Saudi untuk membaharui hubungan diplomatik.     Dalam
 suatu lawatan Perdana Menteri ke Dubai, rakyat Dubai akan membuka 
kilang di Malaysia manakala rakyat Malaysia akan membuka kilang di Dubai
 juga.     Usaha turut sama 
dijalankan oleh pelabur Indonesia dengan pelabur Malaysia di kedua-dua 
buah negara dengan tujuan mendapatkan keuntungan.    Oleh
 itu, jelaslah bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dengan 
negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga 
sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara 
kita. 
                Selain
 itu, kerajaan Malaysia juga perlu terus menghantar rombongan penggalak 
pelaburan ke luar negara dengan matlamat mempertingkatkan pelaburan 
asing.   Berpandukan misi pelaburan ini, rombongan terbabit  biasanya
 diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan 
berperanan berucap dan menyatakan kelebihan Malaysia kepada para pelabur
 asing di luar negara.    Ekspo 
perdagangan dan pameran akan diadakan di luar negara bagi menonjolkan 
faktor-faktor tarikan Malaysia yang sesuai dijadikan tempat pelaburan. 
Seminar pelaburan turut diadakan oleh rombongan tersebut. Tambahan pula,
 seminar dan mesyuarat tentang kelebihan melabur di Malaysia juga 
diadakan di luar negara. Laporan dan promosi tentang insentif terbaru 
melabur di Malaysia juga harus diadakan oleh pihak media massa 
antarabangsa .  Oleh itu, jelaslah penghantaran rombongan penggalak pelaburan  ke negara kita mampu meningkatkan pelabur asing di Malaysia 
                Bukan
 itu sahaja, zon perdagangan yang sesuai dan lengkap dengan segala 
kemudahan infrastruktur perlu diperbanyakkan oleh kerajaan Malaysia.    Tapak perusahaan yang strategik juga harus diperbanyakkan.    Prasarana
 seperti sistem pengangkutan yang sistematik, bekalan elektrik dan air 
yang berterusan, serta sistem telekomunikasi yang cekap harus disediakan
 untuk kemudahan kilang-kilang beroperasi.   Zon
 perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber bahan mentah agar bahan 
mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit tidak busuk 
sebelum sampai ke destinasi.     Contoh
 zon perdagangan ialah di Shah Alam, di Batu Berendam, di Alor Gajah, di
 Gurun dan di Senawang. Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon 
perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk 
menarik minat pelabur asing.     Rumusannya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan yang lengkap dengan segala infrastruktur yang terancang.
                Sementelahan itu, faktor tenaga buruh turut memainkan peranan penting menarik pelabur asing ke negara kita.     Daya produktiviti sesebuah kilang akan meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja yang mahir dan pakar.    Oleh
 itu, jumlah rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh 
kerajaan Malaysia dengan bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis 
Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).    Kerajaan juga perlu memastikan latihan vokasional adalah cukup untuk memenuhi keperluan guna tenaga dan tuntutan seazaman.     Pekerja-pekerja
 juga harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyeleweng wang 
syarikat serta mengamalkan gejala rasuah seperti pekerja negara dunia 
ketiga yang lain terutamanya Bangladesh dan Indonesia, demi memelihara 
maruah negara kita yang berdaulat ini.    Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan latihan agar kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.
                Tuntasnya, kita tidak harus terlalu ghairah menggalakkan pelaburan asing sehingga membebankan kerajaan.    Syarat pelaburan asing haruslah sama dengan syarat pelaburan tempatan agar pelaburan tempatan tidak tergugat.     Janganlah bersikap seperti ‘kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan’ dalam menentukan syarat-syarat pelaburan asing sebaliknya sikap ‘menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’, harus diamalkan.    Rakyat tempatan sewajarnya menganggap pelabur asing sebagai pesaing dan turut sama melabur dengan bijak.     Kerajaan pula patut berhati-hati memilih pelabur asing agar pelaburan tersebut dapat menguntungkan sekali gus keunggulan Malaysia semakin menyerlah di arena antarabangsa.     Semoga pelaburan ini menjadi pembuka laluan kepada masa depan negara yang gemilang.
No comments:
Post a Comment