Setiap
ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup
sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam
usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan
gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit
jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai
berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan
rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi
seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman
dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit
berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan
sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara
umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang
melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan
utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak
mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas
makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin,
mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa
juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya
gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa
juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana
minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan
gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus
buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain
itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama
anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan
antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam
mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan
senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu
membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti
senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali
seminggu. Antara aktiviti yang boleh
dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki
bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh
dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari
kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan
kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas
otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah
bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di
samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa
digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan
kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di
peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden
kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu
bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu
menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati
anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa
dengan doktor untuk mendapat ubat serta
pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang
ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan
memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan
melatih anak-anak mereka mengutamakan
kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada
sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian
bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup
seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar
tidak dihinggapi lalat mahupun memilih
gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu
bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah.
Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri
anak-anak agar dapat membentuk gaya
hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan
makanan, ibu bapa juga perlu
mendidik ahli keluarga mereka agar
menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu
dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah
setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu
bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri
anak-anak mereka sekali gus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan
aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan
bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan
menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi
bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga,
rakan-rakan dan jiran tetangga serta
mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak
psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan
pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah
membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari
esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak
mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang
masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita
menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat
melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri
pesakit itu untuk melawan kesakitan yang
ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak
melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama
anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita
menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri
pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah
menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya,
amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan
amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir
sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga
perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ
dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka
memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa.
Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah
malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak
akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran
anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan
semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat,
ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara
ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas
perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang
bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat
Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing
manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan
dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di
atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang
berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment