Latihan
1 : Pelbagai masalah yang timbul dalam keluarga seperti masalah
kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu
sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap ahli keluarga.Huraikan
langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam
menghadapi tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.
Pendahuluan : Tragedi-tragedi
pelik seperti bapa mencurah asid ke muka anak, suami membunuh isteri di
tempat tidur, anak membunuh ahli keluarga dan pelbagai kerenah dalam
keluarga bagaikan menjadi suatu fenomena dalam masyarakat moden.
Masyarakat yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan
sanggup melakukan tindakan ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang
melanda keluarga telah menjadi anasir peledak sehingga keharmonian dalam
rumah tangga bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi
mula melanda keluarga sehingga boleh menimbulkan kesan kemurungan,
halunisasi, dan gila. Memandangkan fenomena ini boleh mengancam
kesejahteraan institusi tertua di dunia itu, pelbagai langkah
menanganinya harus diambil dengan seberapa segera.
Isi
1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran
yang mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga – anak-anak sudah mempunyai persediaan yang cukup – dapat menangani segala masalah dengan tenang.
Isi 2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga adalah suatu amanah dan ibadah – menjadi motivasi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera.
Isi 3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah.
Isi 4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga – mengetepikan perkara-perkara negatif yang boleh mencetuskan perasaan marah – menikmati kehidupan berkeluarga ibarat syurga.
Isi 5 : Merujuk kepada kaunselor terlatih –
langkah penyelesaian terakhir sekiranya masalah terlalu rumit – semua
pihak hendaklan mengetepikan ego masing-masing – menerima hakikat bahawa
bukan semua masalah harus diselesaikan bersendirian.
Kesimpulan : Fenomena
semasa yang semakin mencabar secara tidak langsung boleh
mempengaruhi emosi seseorang. Oleh itu, jikalau darah sudah mengalir ke
mata, justeru padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan dendam yang
membara, sebaliknya setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan hemah
dan pemikiran yang positif. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan
ibarat, hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih. Maklumlah hidup
tanpa stres hidup bahagia.
Latihan 2 : Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk keluarga yang penyayang. Berikan pandangan anda tentang peranan ahli keluarga dalam melahirkan keluarga yang harmoni dan penyayang.
Pendahuluan : Kalangan
bijaksana berpendapat bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan dan
ada kalanya menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut
menerangkan bahawa, rumah tangga menjadi nukleus utama yang dapat
membentuk keluarga yang bahagia ataupun sebaliknya. Pelopor paling
penting untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni dan bermawaddah
tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakari nescaya eloklah keluarga
yang dibina. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi
mencorakkan sebuah rumah tangga yang dilingkungi oleh rahmat dan kasih
sayang. Walau bagaimanapun, sokongan daripada anak-anak dan seluruh ahli
keluarga amat penting juga dalam melahirkan sebuah keluarga yang
penyayang.
Isi 1 : Pegangan agama yang kukuh - Menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah –
insan seperti ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal
yang negatif – sentiasa memupuk kecenderungan untuk hidup yang diredai
di dunia mahupun akhirat.
Isi 2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan saling menyokong.
Isi 3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat, dan memperoleh berkat.
Isi 4 : Anak-anak perlu patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi.
Isi 5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup bermasyarakat dengan jalinan kasih sayang. Sepakat membawa berkat.
Isi 6: - Ahli keluarga mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka
akan mengamalkan pemakanan yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri
daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti merokok dan mengambil
dadah.
Kesimpulan : Sesungguhnya
keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan penyayang lagi
cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi impak negatif kepada
masyarakat setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud dalam kalangan
ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang kompeten dan
harmoni. Lantas, dpat kita menyumbang ke arah merealisasikan cabaran
ktujuh Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
menyayangi. Maklumlah keluarga bahagia negara sejahtera.
Latihan 3 : Aktiviti
riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana
dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan
badan. Ulas pernyataan di atas.
Pendahuluan : Kehidupan
pada hari ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai
kehidupan kita. Bermula dengan cabaran dalam rumah tangga hinggalah
cabaran di tempat kerja. Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh
memisahkan insan-insan tersayang. Memandangkan kesibukan telah menjadi
penghalang ikatan kasih sayang dalam keluarga, justeru kesempatan
mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga amatlah
digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan
keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan
tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk
bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan
sebaik mungkin.
Isi 1 : Dapat mengikat tautan keluarga agar lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan saling menyokong. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Isi 2 : Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai – melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja – menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga.
Isi 3 : Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama – bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membaiki peribadi supaya lebih luhur.
Isi 4 : Berkongsi pendapat menyelesaikan masalah –
apabila berhadapan dengan cabaran dalam masa aktiviti (dalam aktiviti
riadah) – saling menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahan.
Isi 5 : Aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti hidup –
kesihatan fizikal dan mental – ketenangan dan keseimbangan emosi –
melahirkan zuriat yang sihat – cergas fizikal dan cerdas minda. Otak
yang cerdas berada dalam badan yang sihat.
Kesimpulan : Keluarga
ialah harta dan pada masa yang sama menjadi teman penghibur serta
menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu, kesinambungan keluarga yang sihat,
aktif dan harmoni hendaklah dilestarikan agar hidup sentiasa riang
dilingkungi oleh keluarga yang bahagia dan harmoni. Saya yakin bahawa
kegiatan beriadah dan berekreasi akan melahirkan rakyat yang sihat dan
seterusnya meningkatkan produktiviti negara supaya dapat kita berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Maklumlah rakyat sihat, negara sejahtera.
Latihan 4 : Peranan
membentuk keluarga bahagia bukan terletak atas bahu ibu bapa sahaja.
sebaliknya, menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga. Tulis pendapat anda tentang peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.
Pendahuluan : “Air
dicincang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama
bercantum juga”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan
kepada kita bahawa hubungan rapat yang berpaksikan darah daging tidak
akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham,
namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum
semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut,
jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah
menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.
Isi 1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga
sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap
mementingkan diri sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah.
Isi 2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap
ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran
atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik - membimbing
dan memandu adik-beradik untuk berjaya terutama dalam pelajaran -
meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang
baik - mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati.
isi 3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak
boleh bersikap mementingkan diri sendiri – bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing - membantu meringankan bebanan ibu bapa
untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa /
tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik.
Isi 4: Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni, produktif, dan toleran.
Isi 5: Pegangan agama yang kukuh. Ahli keluarga akan menyedari perbezaan antara kaca dan intan, halal dan haram, syurga dan neraka, baik dan buruk.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka
akan mengamalkan pemakanan yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri
daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti merokok dan mengambil
dadah.
Kesimpulan : Berdasarkan
maksud sepotong ayat Al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan
berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.
Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya”.
Dengan yang demikian, jalinlah kasih sayang dan silaturahim demi
membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Lantas, dapat kita menyumbang ke
arah merealisasikan cabaran ketujuh Wawasan 2020, iaitu melahirkan
nasyarakat penyayang dan budaya menyayangi. Maklumlah keluarga bahagia
negara sejahtera.
Latihan 5 : “Ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”. Tulis sebuah karangan berhubung dengan peribahasa tersebut.
Pendahuluan : Kehidupan
berkeluarga telah mendominasi dunia sejak manusia mula mengenal
keperluan terhadap pasangannya. Institusi keluarga merupakan komuniti
sosial yang paling tua di dunia dan mampu bertahan hingga ke hari ini.
Daripada sebuah keluarga akhirnya berkembanglah zuriat. Zuriat yang
lahir akan meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan. Atas
faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan mewarisi tampang
fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada pewarisan zuriat
yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan, ke
manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi.
Isi 1 : Anak sudah pasti mewarisi pembawaan serta bentuk rupa paras daripada ibu bapa -sekiranya
ibu bapa memiliki ciri-ciri personaliti yang baik, justeru anak-anak
pun demikian - anak-anak dikatakan pancaran daripada ibu bapa -
anak-anak perlu menuruti semua acuan yang baik yang ditunjukkan oleh ibu
bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Isi 2 : Pembentukan sahsiah dan perwatakan anak-anak akan bermula di rumah - anak-anak
akan mewarisi segala tingkah laku dan tindak tanduk ibu bapa - budaya
dan iklim dalam keluarga bakal mewarnai setiap tindakan anak-anak. Bapa
borek anak rintik.
Isi 3 : Bakat besar yang ada kepada bapa atau ibu hendaklah diwarisi oleh anak-anak – anak-anak
hendaklah menjadi ikon baik ibu bapa – teladan daripada ramai pemimpin
dunia yang bakat mereka diwarisi oleh anak-anak – anak-anak mesti
mempertahankan imej baik yang telah ditunjukkan oleh ibu bapa.
Isi 3 : Anak-anak hendaklah bersikap terbuka untuk menerima segala bimbingan daripada ibu bapa - anak
diibaratkan seperti sehelai kain putih semasa lahirnya,
terpulanglah kepada ibu bapa untuk menentukan corak dan warnanya -
amalkan sikap melentur buluh biarlah semasa rebungnya – ibu bapa telah
lama hidup dan banyak pengalaman yang sewajarnya dituruti oleh
anak-anak. Mreka telah makan garam terlebih dahulu.
Isi 5 : Turunan bakat yang dimiliki oleh ibu bapa perlu diwarisi oleh anak-anak – anak-anak
wajar berbangga kerana bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa –
cuba suburkan turunan bakat (seni kraf tangan, bidang seni lukis, seni
tari. memasak dan ketukangan) yang diwarisi secara turunan generasi –
peribahasa ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.
Kesimpulan : Baka
dan keturunan adalah suatu kejadian Allah yang paling unik. Tiada
sesiapapun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan yang sungguh agung
itu. Oleh hal yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan
keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh
merosakkan darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu
bapa dan anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik
terus produktif, ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
Keluarga bahagia rakyat sejahtera.
Latihan 6 : Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Tulis pendapat anda tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak.
Pendahuluan : Semua
pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos
sara hidup keluarga terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada
suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak,
perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup
menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih
dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda
negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan China
amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas,
tetapi amaran seperti itu perlu diambil serius agar dapat menyediakan
payung sebelum hujan. Bagi mendepani keadaan darurat seperti itu, setiap
ahli keluarga haruslah mempunyai pelan tersendiri untuk menyelamatkan
diri daripada menjadi mangsa krisis tersebut.
Isi 1 : Mengamalkan latihan berjimat cermat - amalan
yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk nilai-nilai murni dalam
keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara berhemat, dan
menjauhi amalan boros.
Isi 2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan
melalui institusi kewangan dan pelaburan saham - berjimat cermat
sewaktu senang dengan memperuntukkan lebihan belanja untuk simpanan –
hayati budaya masyarakat silam menyimpan wang di dalam tabung buluh.
Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Isi 3 : Anak-anak hendaklah memahami kemampuan ibu bapa - tidak meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan - tidak melampau dan meniru cara hidup rakan-rakan di luar.
Isi 4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar kemampuan - keinginan
untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat terpengaruh dengan
pelbagai iklan dan pujukan atau tawaran jualan. Ukur baju di badan
sendiri.
Isi 5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk -elakkan sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran dan tetangga.
kesimpulan : Pendidikan
daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum
habis amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah
disebabkan sikap yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar
kemampuan, kita terpaksa menanggung beban terutama dalam krisis gawat
seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah. Oleh itu,
rancanglah strategi perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata hendak
kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.
Latihan
7 : Setiap anak menjadi harapan keluarga. Menyedari hakikat tersebut,
anak-anak harus mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab
terhadap keluarga. Tulis persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh anak-anak.
Pendahuluan : Anak
ialah cahaya mata yang menjadi buah hati pengarang jantung kepada
kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran seseorang anak, kehidupan ibu
dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah lagi apabila anak yang
dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi insan yang
berguna. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka hendaklah
bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung.
Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa
kerana dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh hal yang
demikian, setiap anak dituntut membuat persediaan sama ada dari segi
mental, fizikal mahupun sahsiah yang baik agar harapan ibu bapa terutama
apabila menjelang usia emas mereka tidak dikecewakan.
Isi 1 : Agama. Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT –
insan yang bertakwa sentiasa melakukan kerja-kerja yang baik seperti
menghormati ibu bapa – tidak melakukan kerja-kerja yang terkutuk yang
boleh menjejaskan maruah ibu bapa.
Isi 2 : Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi –
pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu dipandang mulia – tidak
mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan – menjadi imej
(pancaran) hati nurani ibu bapa.
Isi 3 : Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan –
mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai kemahiran sebagai
jaminan memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas budi ibu
bapa.
Isi 4 : Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan kaum keluarga – mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek material mahupun moral.
Isi 5 : Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir mereka –
maksud daripada firman Allah, “Akan gugur dosa seseorang anak apabila
dia dengan ikhlas menjaga ibu dan bapanya hingga ke akhir hayat”
- tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar nilainya di sisi
Tuhan.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka
akan mengamalkan pemakanan yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri
daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti merokok dan mengambil
dadah.
Kesimpulan : Meminjam
kata-kata daripada orang-orang lama bahawa, betapa kasihnya seseorang
ibu kepada anaknya hatta seekor lalat pun tidak dibenarkan hinggap ke
tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar ibu bapa terhadap seseorang
anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan oleh anak-anak
terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan
membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang
sungai emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk
menjadi seorang anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat
mereka bergantung.
Latihan
8 : Harapan ibu bapa terhadap anak-anak amatlah besar. Walau
bagaimanapun terdapat kes-kes seperti kacang melupakan kulit. Pada
pendapat anda, mengapakah wujud anak-anak yang bersikap demikian. @
Mengapakah anak-anak menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke rumah
orang tua.
Pendahuluan : Alam
berumah tangga menjadi cukup berseri dengan kehadiran cahaya mata. Si
ibu dan si ayah akan segera mencapai kematangan dan mula mengambil
tanggungjawab untuk menyempurnakan si anugerah daripada Tuhan itu.
Itulah anak yang menjadi harapan kepada ibu bapa sama ada di dunia
mahupun di akhirat. Berbahagialah kedua-dua ibu bapa sekiranya anak yang
dilahirkan menjadi insan soleh, cemerlang dan tidak tersasar daripada
asal usul. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa
menempuh hari-hari emas mereka akibat dipinggirkan oleh anak-anak yang
tidak berhati perut umpama kacang lupakan kulit. Sebenarnya, banyak
faktor yang boleh dijustifikasikan sehingga wujud anak-anak seumpama
itu.
Isi 1 : Anak-anak yang cepat lupa daratan – lupa asal usul lalu menjadi anak derhaka – tidak mahu berkorban untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka.
Isi 2 : Jahil agama - Anak-anak tidak mempedulikan halal haram – tidak menghayati balasan syurga adalah dengan reda ibu bapa. Syurga itu terletak di telapak kaki ibu.
Isi 3 : Anak pascamoden atau Generasi Y yang terlalu leka dengan kebendaan –
mengejar keselesaan dunia – menganggap ibu bapa sebagai beban – sengaja
membiarkan ibu bapa menderita di desa pedalaman yang daif.
Isi 4 : Sikap ibu bapa sendiri –
segelintir ibu bapa yang tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap
anak-anak – lalai dengan keseronokan – tidak sedar akan nasib pada hari
tua.
Isi 5 : Masalah kebobrokan dan rumah tangga ibu bapa yang berantakan –
berlaku perceraian – anak-anak hidup terbiar dan melarat – anak-anak
membawa haluan masing-masing – hilang mawaddah terhadap ibu bapa.
Kesimpulan : Sudah
menjadi resam dunia, hidup ibarat putaran roda. Demikianlah tentang
hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Andai ibu bapa melaksanakan
tanggungjawab dengan penuh ikhlas terhadap anak-anak, insya-Allah
balasnya akan baik juga. Malang sekali keadaan yang berlaku adalah amat
berbeza. Oleh itu, antara ibu bapa dan anak-anak seyogia laksanakan
tanggungjawab masing-masing semoga hidup memperoleh rahmat daripada
Allah.
Soalan
9 : Ramai remaja pada hari ini yang bertindak di luar batasan
sehingga memalukan ibu bapa. Perbuatan tersebut telah menimbulkan
pelbagai kesan buruk kepada ibu bapa. Bincangkan.
Pendahuluan : Belakangan
ini, pelbagai isu yang melibatkan remaja sering menjadi topik
perdebatan utama. Sama ada di dada-dada akhbar mahupun yang terpancar
melalui kaca televisyen, isu panas yang berkaitan tingkah laku remaja
tetap menjadi sajian yang meloyakan. Cerita-cerita tentang pergaulan
bebas, merempit dan melepak, menagih dan jenayah semakin meningkat hari
demi hari. Sementara itu, ibu bapa terpaksa menanggung malu akibat
tidak tertahan dengan gelagat anak-anak. Adakah mereka tidak dididik
dengan sempurna? Ke manakah pergi ibu bapa mereka? Sebenarnya,
soalan-soalan seumpama itu terlalu acap kita dengar. Walau bagaimanapun,
amatlah tidak adil untuk menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana
tindakan keji anak-anak muda hari ini sudah keterlaluan dan turut
memalukan induk sendiri.
Isi 1 : Ibu bapa menderita dan sedih kerana menanggung malu –
kecewa apabila anak yang dididik dan dibelai semasa kecil telah
menconteng arang ke muka mereka – melakukan pelbagai perbuatan keji dan
lupa daratan.
Isi 2 : Ibu bapa disisih dan dipandang serong oleh masyarakat –
berdepan dengan pelbagai tuduhan (tidak pandai mengajar anak dan
menyusahkan masyarakat) – mengalami masalah untuk berinteraksi dan
bercampur gaul dalam masyarakat.
Isi 3 : Ibu bapa mengalami kesan trauma dan fobia dengan tindakan ganas oleh anak-anak – berlaku kes anak yang menagih dadah mencekik dan memukul ibu – takut situasi sama berulang.
Isi 4 : Ibu bapa dipanggil ke balai polis – diminta mengikat jamin anak yang terlibat dengan perbuatan jenayah – mengalami tekanan perasaan dan malu.
Isi 5 : Hilang tempat bergantung –
menghadapi hari-hari tua yang hambar, takut dan mengecewakan –
menghembuskan nafas yang terakhir dalam kekecewaan (ditamsilkan mati
pejam tidak rapat).
Kesimpulan : Alangkah
bahagianya bagi seseorang ibu atau bapa yang pada saat-saat akhir
perjalanan mereka dikelilingi oleh anak-anak dan cucu. Ada bacaan
ayat-ayat suci mahupun doa yang ditiupkan di sisi telinga oleh anak-anak
yang soleh. Namun, malang sekali nasib sebilangan ibu bapa yang
terpaksa manelan kepahitan akibat perbuatan anak-anak yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, wahai para remaja andai sesat di hujung
jalan baliklah ke pangkal jalan.
Soalan
10 : Sokongan daripada anak-anak amat penting dalam usaha mewujudkan
persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria. Bincangkan pendapat anda tentang sumbangan yang boleh diberikan oleh anak-anak untuk mencapai matlamat di atas.
Pendahuluan : Keluarga
bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku”
menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun demikian, tidak semua hasrat
tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan terbentur di
tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan hasrat
yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas
budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan
matlamat keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah
berperanan penting untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang
bahagia dan kondusif.
Isi 1 : Patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa –
tidak melawan dan menyanggah cakap ibu bapa – tunaikan dan penuhi
segala hasrat mereka – tidak melakukan aktiviti yang boleh menyakitkan
hati ibu bapa.
Isi 2 : Menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga – bercakap secara hormat dan lemah lembut sesama saudara mara – tidak bersikap ego dan mementingkan diri sendiri.
Isi 3 : Merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala –
bersama-sama pulang ke induk – kesempatan pada cuti hujung minggu, cuti
am, dan musim perayaan – menganjurkan aktiviti mesra keluarga seperti
makan bersama-sama.
Isi 4 : Mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama – aktiviti riadah, gotong royong dan solat berjemaah – ziarah.
Isi 5 : Menjalinkan hubungan persaudaraan dengan sanak saudara sama ada di sebelah ibu mahupun bapa – memperluas rangkaian kaum keluarga – membantu yang memerlukan dan menyokong usaha memajukan tabung ekonomi keluarga.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka
akan mengamalkan pemakanan yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri
daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti merokok dan mengambil
dadah.
Kesimpulan : Keluarga
bahagia merupakan teras masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat
yang harmoni dan dinamik bermula daripada sistem keluarga yang teratur
dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga sama ada keluarga nukleus
mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan kehidupan yang saling
menyokong dan bertoleransi.
Latihan 11 : Anak-anak
remaja hari ini dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan
amalan ke dapur telah menjadi warisan turun-temurun. Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.
Pendahuluan : Menghayati
lirik lagu klasik yang berbunyi, “Anak dara kalau menyanyi di dapur,
alamat mendapat suami tua”. Walaupun kata-kata tersebut agak sinis untuk
menasihati anak-anak gadis supaya lebih bersopan, namun di sebalik
kata-kata tersebut mengandung hakikat bahawa anak-anak perempuan sangat
sinonim dengan kerja-kerja di dapur terutama memasak. Sejak fasa silam
lagi nilai diri seseorang turut diukur berdasarkan kecekapannya
menguruskan hal-hal di dapur. Sebaliknya, selepas melalui beberapa
peringkat pemodenan, anak remaja sama ada perempuan atau lelaki amat
liat untuk ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan gejala ketandusan
budaya tradisional. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun ini pupus
ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki
untuk melatih anak-anak agar mesra ke dapur.
Isi 1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah –
rumah sebagai paksi membentuk peribadi anak-anak - ibu bapa hendaklah
membudayakan amalan tradisional – membiasakan anak-anak dengan latihan
memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi role model dan
kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih
anak-anak.
Isi 2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa tiada keperluan untuk masuk ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak secara formal.
Isi 3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang –
ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak
masuk ke dapur – anak-anak perlu belajar dan membantu si ibu di dapur –
memberi peluang anak-anak mencuba resipi mereka – anggota keluarga
hendaklah memberikan kerjasama dan memberi penghargaan.
Isi 4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin –
dengan disiplin anak-anak mudah menerima tunjuk ajar - setiap anak
hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar ada yang terlalu
berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan terhidang
ke lutut.)
Isi 5 : Memberi motivasi kepada anak-anak –
anak-anak perlu diberikan semangat dan dorongan dari awal - menyediakan
bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah tangga (majalah Anjung Seri,
Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai bentuk perisian
CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada ikon
keluarga yang berjaya.
Kesimpulan :
Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis walau setinggi mana
sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi yang negatif.
Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap
individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni
dan jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput,
wajarlah semua pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke
landasan yang betul.
Latihan 12 : Anda
telah memenangi peraduan menulis esei yang dianjurkan oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat di tempat anda. Tajuk esei yang anda pilih ialah,
“Permata Hatiku Sayang”.
Tulis esei tentang siapakah anak yang dikatakan Permata Hati?
Pendahuluan : Anak
adalah menjadi buah hati pengarang jantung kepada ibu bapa. Anak
sebagai anugerah yang bakal menyerikan kehidupan berumah tangga.
Disebabkan kehadiran mereka terlalu bermakna kepada kedua-dua ibu bapa,
justeru anak digelar cahaya mata. Anak yang dibelai dengan penuh kasih
sayang serta diberikan ilmu pengetahuan mampu menjadi insan yang
berguna. Mereka pasti menjadi anak-anak yang pandai membalas budi ibu
bapa. Sebenarnya, inilah anak-anak yang menjadi impian ibu bapa dan
disebut permata hati.
Isi 1 : Anak yang patuh akan perintah Allah SWT dan menyayangi ibu bapa - sentiasa
taat akan perintah Allah – meninggalkan perkara-perkara yang
dilarang dan melaksanakan segala perintah yang baik – sentiasa berbakti
kepada kedua-dua ibu bapa.
Isi 2 : Anak-anak yang bermotivasi tinggi – berazam mahu mencapai kejayaan pada hari muka – gigih berusaha dan belajar – ingin membalas jasa ibu bapa dengan menghadiahi mereka kejayaan.
Isi 3 : Anak yang cemerlang akhlak dan moralnya – sentiasa menjaga nama baik keluarga –
berhati-hati dalam sebarang tindakan dan kelakuan – tidak mahu maruah
ibu bapa tercemar – hormat akan orang tua, kaum keluarga dan jiran
tetangga.
Isi 4 : Anak yang ikhlas mahu mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur - mengambil
peluang untuk membalas jasa ibu bapa ketika mereka sangat memerlukan
kehadiran anak-anak – faham akan tuntutan bahawa semua dosa anak
terhadap ibu bapanya akan terhapus apabila si ibu atau bapa mati di
bawah jagaan anak tersebut.
Isi 5:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka
akan mengamalkan pemakanan yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri
daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti merokok dan mengambil
dadah.
Kesimpulan : Mafhum
daripada sepotong Hadith Rasulullah dengan maksudnya, “Apabila mati
seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah segala amal baiknya,
kecuali tiga yang masih tinggal. Ketiga-tiga yang tersebut ialah sedekah
kepada golongan yang memerlukan, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan,
dan anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa
mereka”. Demikianlah betapa besarnya erti kehadiran anak-anak sama ada
semasa hidup mahupun setelah mati.
Latihan 13 : Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya hidup sihat. Beri pendapat anda.
Pendahuluan : Gejala
serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak
belakangan ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak
seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar
menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan ini. Selain
wabak yang bersekala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang bersifat
domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu
masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO
dan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala
penyakit, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua
pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai
keutamaan. Inisiatif seperti itu hendaklah turut disokong oleh
institusi keluarga selaku penggerak utama pembentukan sesebuah
masyarakat yang sihat.
Isi 1: Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Isi 2: Memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan untuk menangani segala keperluan asas.
Isi 3: Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan bacaan, kempen, dan amalan harian.
Isi 4: Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan –
memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid
makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal ( berpegang
kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang
baik dan berkhasiat).
Isi 5: Mengamalkan rutin kesihatan – tidur yang cukup. Senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadapa segala serangan penyakit.
Isi 6: Peka terhadap kejahteraan dan kebersihan alam sekitar – berpegang kepada kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat..
Isi 7: Peka terhadap keperluan masyarakat dan negara – masyarakat yang harmoni negara dan jaya dan hidup sejahtera.
Kesimpulan : Mafhum
daripada sepotong Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu
sebelum datang masa sakit” benar-benar menyedarkan kita bahawa
kesihatan merupakan aset besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan
tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal,
keluarga hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program
amalan gaya hidup sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.
Latihan 14 : Keluarga
sepatutnya menjadi institusi yang selamat. Namun begitu kejadian
penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga masih berleluasa.
Berikan saranan anda tentang peranan institusi keluarga bagi membanteras gejala ini.
Pendahuluan : Anak
sebagai amanah Allah. Anak juga sebagai anugerah kerana terdapat orang
yang tertentu yang terlalu berhajatkan kepada anak tidak diberikan
zuriat, sebaliknya ada pula yang memiliki terlalu ramai anak sehingga
tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga dengan baik akan menjadi
penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga menjadi sumber
motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk
membahagiakan rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah
rumah tangga apabila dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah
apalah yang telah merasuk sebahagian kecil manusia sehingga mereka
tergamak mendera, mencederakan, malah ada yang sanggup membunuh darah
daging sendiri. Seandainya fenomena ini tidak ditangani segera,
dibimbangi banyak lagi insiden yang di luar jangkaan akan berlaku. Dalam
hal ini institusi keluargalah yang lebih diberikan peranan untuk
membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak melarat.
Isi 1: Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan matlamat membina sesebuah keluarga .
Isi 2: Membina kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota keluarga bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak kecil –
menjadikan kehadiran seseorang bayi sebagai penambat kasih sayang –
setiap anggota dalam keluarga faham akan tanggungjawab masing-masing.
Isi 3: Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan –
setiap pasangan dikehendaki menghayati betul-betul kemahiran tersebut
sebelum boleh mendirikan rumahtangga – ilmu yang meliputi persediaan
mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan kecil.
Isi 4: Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna –
kesedaran terhadap tanggunjawab agama dan ketuhanan boleh mencegah
manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan moral membolehkan seseorang
menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai sejagat.
Isi 5: Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap keselamatan kanak-kanak –
tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus
mendera – mengambil tindakan pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan
kanak-kanak yang didera.
Isi 6: Memperkukuh jalinan kejiranan –
setiap anggota keluarga hendaklah dididik supaya menghormati jiran –
jiran yang rapat dapat membantu dalam segala tindakan sama ada susah
atau senang.
Kesimpulan : Sesungguhnya
keluarga merupakan nukleus untuk melahirkan insan madani yang mampu
memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara. Kejayaan
sesebuah negara bergantung penuh kepada modal insan yang cemerlang. Oleh
hal yang demikian, keluarga amatlah bertanggungjawab untuk menghalang
segala anasir yang mendorong kepada gejala penderaan. Maklumlah
masyarakat harmoni dan negara sejahtera.
No comments:
Post a Comment