Institusi 
keluarga terdiri daripada bapa,ibu,anak-anak dan saudara mara. Setiap 
unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Walaupun keluarga 
merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun keluarga 
memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan insan yang cemerlang.
 Ibu bapa terutamanya,mempunyai tanggungjawab yang besar kerana 
anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang 
perlu mencorakkannya. Malah, hadis Rasulullah S.A.W. ada mengatakan 
bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang bersih 
melainkan dua orang tuanya yang berperanan mencorakkannya menjadi 
Yahudi, Nasrani,atau Majusi. Jelaslah di sini bahawa keluarga memainkan 
peranan yang begitu penting dalam membentuk diri anak-anak dari segala 
aspek. Persoalannya,pernahkah ibu bapa renungkan sejauh mana peranan 
yang mereka mainkan berpengaruh dalam perjalanan hidup anak mereka? 
            Slogan 
‘Rumahku Syurgaku’ membawa erti keluarga yang bahagia. Dalam hal ini,ibu
 bapa amat berperanan dalam melahirkan keluarga yang aman dan damai. 
Menurut Dr. Hassan Ali,Pengarah Akademi Keluarga Bahagia 
Malaysia,kesejahteraan bermula dari rumah,maka ibu bapa hendaklah 
menjadikan rumah seperti syurga yang penuh dengan kedamaian dan 
keindahan kepada anak-anak. Kesejahteraan di rumah akan dapat mewujudkan
 keluarga penyayang. Oleh itu,ibu bapa harus peka dan faham serta 
mempunyai iltizam untuk melahirkan insan yang utuh dari segi 
emosi,akhlak,dan moraliti dalam mengharungi ranjau serta liku yang 
sentiasa menghambat kesejahteraan keluarga. Anak-anak yang membesar 
dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima perkara-perkara 
positif dalam membina jati diri mereka. Oleh itu,anak-anak terutamanya 
remaja yang baru sahaja berumur setahun jagung,darah setampuk pinang 
ini,tidak akan bercermin di air keruh. Selain itu,mereka juga lebih 
tenang dan lebih mudah menerima pelajaran bagi memastikan kecemerlangan 
mereka dalam bidang akademik. Mereka tidak akan teraba-raba dalam 
mencari hala tuju kerana mereka sudah mempunyai keluarga bahagia yang 
menjadi tulang belakang mereka. Justeru,dapatlah disimpulkan bahawa 
keluarga yang bahagia menjadi sumber kekuatan mereka dalam menempuh usia
 remaja yang penuh cabaran. 
                 Selain
 itu,ibu bapa bertanggungjawab memberikan ilmu kepada anak-anak. Peranan
 ilmu dalam kehidupan seseorang individu sememangnya tidak dapat 
dinafikan. Oleh itu, anak-anak mestilah dipupuk supaya mencintai ilmu. 
Misalnya, ibu bapa wajar membudayakan amalan membaca dalam keluarga. 
Sesungguhnya, ilmu umpama cahaya yang akan menerangi hidup kita dengan 
membawa kejayaan. Menurut Islam,menuntut ilmu itu difardhukan kepada 
setiap muslim. Malah,Rasulullah S.A.W. pernah bersabda,tuntutlah ilmu 
hingga ke negeri China. Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu
 kepada anak-anak supaya mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang 
akademik yang seterusnya akan melahirkan insan yang lebih intelektual 
dan berketrampilan. 
               Pada era
 globalisasi dan modenisasi ini,tugas mendidik,menjaga dan melindungi 
anak-anak daripada perkara yang negatif bukanlah suatu perkara yang 
ringan dan mudah bagi sesebuah keluarga. Bekalan pendidikan yang 
berkualiti dari sekolah,menanamkan rasa tanggungjawab dan disiplin,tidak
 cukup sekiranya tidak diimbangi dengan bekal pendidikan agama yang 
baik. Kita sendiri dapat melihat hakikat bahawa golongan yang 
berpelajaran turut terlibat dalam kes-kes jenayah yang berlaku pada hari
 ini. Oleh itu,tidak lengkaplah seorang individu itu sekiranya tidak 
menghayati nilai-nilai agama. Dalam hal ini,ibu bapa mesti bertindak 
sejak peringkat akar umbi lagi dalam usaha menerapkan nilai agama. Bak 
kata pepatah,sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Menurut Presiden
 Persatuan Penggerak Komuniti Malaysia,Norizan Sharif mengatakan bahawa 
ibu bapa sebagai golongan veteran haruslah membina kekuatan dalaman diri
 anak-anak dengan asas agama. Sememangnya tidak dapat disangkal 
lagi,didikan agama yang secukupnya akan menjadi benteng yang kukuh dalam
 menangkis segala anasir yang tidak baik dan seterusnya akan memandu 
mereka ke arah kecemerlangan. Justeru,ibu bapa amat berperanan dalam 
memberikan didikan agama yang baik dalam usaha menjadikan mereka insan 
yang cemerlang. 
            Di samping 
itu,ibu bapa perlu bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan 
sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Oleh hal yang 
demikian,mereka mesti menjadi role model kepada anak-anak. Bagi menjadi 
role model yang baik, ibu bapa mestilah memulakannya daripada diri 
mereka sendiri. Ibu bapa tidak boleh menjadi seperti ketam yang mengajar
 anak berjalan lurus. Misalnya,dari segi penampilan diri,ibu bapa yang 
menjadi role model ini,perlu berketrampilan sopan dan tidak melanggar 
batasan agama dan budaya. Mereka juga perlu menjadi pengurus rumahtangga
 yang baik iaitu dari segi pengurusan masa,pengurusan diri,sehinggalah 
ke pengurusan kewangan. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa,ke mana 
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,bapa borek anak rintik,dan bagaimana 
acuan begitulah kuihnya. 
          Tambahan 
pula,keluarga merupakan sumber inspirasi kepada setiap individu. 
Sentuhan kasih sayang dan dakapan mesra menjadi pemangkin ke arah 
kecemerlangan anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa seharusnya menjadi 
pemudah cara kepada anak-anak supaya mereka dapat membebaskan diri 
daripada belenggu masalah. Sebagai contoh,apabila anak-anak berhadapan 
dengan masalah pelajaran atau gangguan emosi,ibu bapa perlu menjadi 
pendengar yang setia dan membantu menyelesaikan masalah mereka. Terdapat
 juga anak-anak yang mengalami tekanan sehingga mereka hilang kawalan 
diri dan putus asa,ibu bapalah orang pertama yang seharusnya 
menghidupkan kembali semangat mereka dan memberikan bimbingan untuk 
meneruskan kehidupan. Jika tidak,mereka pasti akan mencari orang luar 
yang belum tentu dapat menjadi penggalak dan pembimbing ke jalan yang 
benar. Justeru,ibu bapalah yang harus menjadi penggalak dan pembimbing 
yang terbaik supaya mudah bagi mereka untuk mengharungi segala cabaran 
dalam usaha menjadi insan yang cemerlang. 
            Pada masa 
yang sama,anak-anak mestilah diberikan perhatian. Ibu bapa mestilah peka
 terhadap faktor-faktor di sekeliling anak-anak mereka. Misalnya,ibu 
bapa mestilah mengawal dan memantau pergaulan anak-anak dengan rakan 
supaya mereka tidak akan mudah terdedah kepada perkara-perkara yang 
tidak baik sekiranya tersilap langkah dalam memilih rakan. Malah,kita 
dapat melihat pada setiap hari,isu negatif yang melibatkan generasi muda
 menghiasi lembaran akhbar. Contohnya, gejala merokok dalam kalangan 
remaja. Isu negatif seumpama ini bertitik tolak daripada pengaruh rakan 
sebaya. Hal ini bermakna,ibu bapa berperanan mengawal dan melindungi 
anak-anak mereka daripada terjebak dengan perkara negatif yang akhirnya 
akan menjadi penghalang kepada kecemerlangan anak-anak pada masa 
hadapan. 
            Berdasarkan
 cambahan minda di atas,konklusi yang dapat dibuat ialah sukar untuk 
menafikan bahawa kecemerlangan ibu bapa menjadi modal insan yang utama 
untuk menjana kecemerlangan anak-anak. Oleh itu,ibu bapa mestilah 
melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan sebelum melayari bahtera 
rumahtangga demi melahirkan ibu bapa yang prihatin. Pengisian ilmu 
keibubapaan yang merangkumi tanggungjawab suami,isteri,dan anak-anak 
serta batasan-batasan hak mereka ini diharapkan dapat membantu mereka 
dalam membentuk sahsiah atau disiplin anak-anak. Sesungguhnya disiplin 
yang kukuh adalah pencetus kecemerlangan dan kegemilangan. Hal ini 
seiring dengan kata-kata mantan Perdana Menteri,Tun Abdullah Bin Haji 
Ahmad Badawi yang berhasrat menjana rakyat Malaysia menjadi 
cemerlang,gemilang,dan terbilang dalam usaha mewujudkan negara yang 
maju. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa peranan keluarga ini 
sebenarnya memberi sumbangan dalam pembentukan sesebuah negara. Tidak 
keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa maju atau mundur sesebuah negara 
terletak di tangan ibu bapa yang membentuk sesebuah institusi keluarga.
No comments:
Post a Comment