INTRODUKSI
Malaysia merupakan salah sebuah
pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi pelaburan langsung asing. Promosi
dan penyelarasan pembangunan perindustrian dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Agensi
ini bertindak sebagai titik permulaan perhubungan untuk para pelabur yang
berhasrat mengadakan projek-projek dalam sektor-sektor perkilangan dan
perkhidmatan sokongan yang berkaitan di Malaysia. Demi menggamit para pelabur
cenderung untuk menanam modal di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan
menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan terutama prasarana yang lengkap.
Persoalannya, mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh mahu memastikan pelabur
asing memilih Malaysia?
Kepentingan
1: Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
Sebenarnya dengan adanya
pelaburan asing, banyak peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan. Demi
meningkatkan produktiviti, tenaga kerja rakyat yang mahir dan separuh mahir
amat diperlukan walaupun teknologi moden digunakan. Dalam konteks Malaysia,
belia lepasan sekolah memang mendahagakan pekerjaan untuk membaiki nasib diri
dan keluarga. Golongan ini sedar, peluang bekerja di sektor awam amat terhad,
ditambah lagi kelulusan setakat SPM, lalu kilang-kilang menjadi pilihan. Hal ini
bermakna, kehadiran pelabur asing mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya mengurangkan gejala
sosial yang dicetuskan oleh penganggur. Misalnya, peragut beraja
di mata, bersultan di hati kerana
tiada sumber pendapatan yang halal. Dengan kata-kata lain, dengan hadirnya
pelabur-pelabur asing, pekerjaan menanti belia, bukan belia menanti pekerjaan.
Kepentingan
2: Nadi penggerak pembangunan dari segi infrastruktur
Dari perspektif pembangunan negara, pelaburan asing merupakan
nadi penggerak ke arah kemajuan negara dalam pelbagai sektor. Kemudahan asas
yang sempurna merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan perindustrian.
Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk
menyediakan kemudahan elektrik dan air, di samping sistem pengangkutan yang
baik demi menarik dan menjayakan projek pelaburan asing. Hal ini demikian
kerana negara kita perlu mempunyai iklim pelaburan yang kondusif demi menggamit
pelabur-pelabur dari seantero dunia. Pelabur-pelabur asing sendiri pula akan
menyediakan kemudahan rekreasi dan tempat kediaman untuk para pekerja.
Penyediaan perhidmatan sosial ini akan meninggikan taraf hidup sosial rakyat
negara ini. Contohnya, Jalan Sultan Azlan Shah telah dibina untuk memudahkan
haluan kilang-kilang di Bayan Lepas dan Bayan Baru di Pulau Pinang. Pendek
kata, pelaburan asing merupakan pemangkin pembangunan negara.
Kepentingan
3: Pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran
Bahkan, pelaburan asing membolehkan pemindahan teknologi moden
serta kepakaran ke negara kita yang sedang membangun dengan pesatnya. Tidak
dapat dinafikan bahawa penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi
canggih menelan ongkos yang tinggi. Sehubungan dengan ini, Malaysia masih
kekurangan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan
penyelidikan demi mencapai teknologi moden. Masalah ini merupakan satu
penghalang yang mengekang kemajuan sektor perindustrian, pendidikan, perubatan,
pertanian, dan sebagainya. Melalui pelaburan asing, pelabur-pelabur asing akan
membawa bersama teknologi dan sistem pengurusan moden serta tenaga profesional
yang pakar dan produktif. Mereka juga akan melaksanakan pelbagai program untuk
melatih buruh tempatan demi mengembangkan pengetahuan kepakaran agar
pekerja-pekerja tempatan dapat diserapkan dalam projek pelaburan mereka.
Contohnya, projek mencari gali minyak di Terengganu memerlukan teknologi yang
canggih dan guna tenaga yang mahir. Tegasnya, pelabur asing menggalakkan
pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran ke negara kita.
Kepentingan
4: Menambah pendapatan negara
Dalam pada itu, pendapatan
negara akan bertambah melalui pelaburan asing. Pengaliran wang ke luar negara
akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan
tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah dieksport ke negara-negara maju
dengan harga yang rendah. Kemudian, bahan mentah ini diproses menjadi barangan
siap dan dijual semula ke negara ini dengan harga yang lebih tinggi. Kemasukan
pelaburan asing membolehkan modal yang banyak dan kepakaran disalurkan ke
kilang-kilang perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan boleh diproses oleh
kilang-kilang di negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah
tempatan lebih terjamin, di samping menyumbangkan pendapatan kepada negara dari
segi cukai. Malah, sumber kewangan dalam projek-projek pelaburan asing itu
merupakan modal pelaburan yang tidak perlu dibayar balik. Dalam usaha mengatasi
kemelesetan ekonomi dan memajukan taraf kehidupan rakyat, pihak kerajaan banyak
meminjam daripada intitusi kewangan asing sehingga menyebabkan hutang negara
mencapai 45 billion ringgit pada tahun 2009. Maka melalui pelaburan asing,
kerajaan tidak perlu meminjam dan berhutang keliling pinggang.
Intiha
Deduksinya, kepentingan dan
sumbangan pelabur asing kepada negara kita tidak ternilai. Jadi,
langkah-langkah proaktif, konstruktif dan pragmatik perlulah diambil agar
negara kita menjadi pilihan utama di rantau ini. Dalam hal ini, kita perlu
sensitif dan peka akan kehendak dan cita rasa mereka dengan melonggarkan dasar
ekuiti asing untuk sektor perkilangan, seperti pelabur asing sekarang boleh
memegang 100% ekuiti tanpa mengambil kira tahap eksport. Selain itu, birokrasi
dalam pelaburan asing perlulah dipermudah agar tidak menyusahkan para pelabur
asing, di samping membanteras gejala rasuah atau tumbuk
rusuk sehingga
akar umbinya. Iklim siasah yang mantap yang kita kecap sekarang juga haruslah
dipelihara. Dengan adanya pengaliran masuk modal, teknologi canggih,
pendapatan, dan sebagainnya tidak mustahil bagi kita untuk duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di
rantau ini. Seterusnya, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi realiti,
bukannya angan-angan kosong.
No comments:
Post a Comment