Masyarakat
 Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada 
pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan 
yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga 
membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak
 permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah
 berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh 
nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan
 tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang 
kita. Keadaan
 ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah 
sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang 
demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, 
penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian 
atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh 
mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil 
bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali 
sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, 
selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada
 kemajuan dunia dalam pelbagai skop,permainan ini seolah-olah 
dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh itu,pelbagai 
langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan 
permainan tradisional pada hari ini.
             Keluarga
 mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan 
permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh 
menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai 
hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini,ternyata
 anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali 
warisan nenek moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa 
setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar 
anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan,ibu
 bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan
 anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan 
tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal 
ini dapat  mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung 
dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi 
baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis 
peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh 
itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab 
murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Selain
 itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan 
daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan 
menganjurkan kelab permainan tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. 
Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara 
aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah 
perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan 
dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah 
satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak,permainan gasing dan
 permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik 
bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka
 akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan 
orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam.
 Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan 
yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan 
teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak 
yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar 
dapat mengetahui  tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan 
pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan 
permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan 
lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas 
sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai 
pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan 
amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran 
dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk 
membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli 
alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi 
bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam 
kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan 
tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan 
berminat  untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang 
menyertai kelab ini,bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain 
permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk 
bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi 
pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan 
pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini 
akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan 
kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan 
yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk 
menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan 
dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut 
kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Dalam
 fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya 
dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan 
terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan 
tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini 
seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk 
membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian
 kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan 
warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan
 lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan 
permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi.Pastinya,dengan
 penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan 
permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan
 lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan 
tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian
 penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai 
pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak
 itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj
 tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak 
masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan 
tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus 
perdana.
Langkah
 yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan 
hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif
 menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan 
masyarakat  tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang 
kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita 
ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulupendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
 Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini 
pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan 
telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen 
seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan 
‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat 
untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat 
tidak kira dari dalam negara mahupun  luar negara mendapat pendedahan 
dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan 
dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu 
sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan 
Permainan tradisional’.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah 
proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu 
menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.
            Minat
 yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti 
wau,layang-layang,sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi 
sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya.Bagi menangani isu ini, 
kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang 
permainan tradisional untuk memudahkan rakyat  bermain permainan ini. 
Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di 
sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih 
lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan 
bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih juga 
patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang 
cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat 
menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara 
sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan 
peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, 
kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu 
aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh 
ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional 
sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum 
ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini  dapat meningkatkan 
perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain 
sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai 
sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment