Semangat
patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap
negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk
identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum
iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang
terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang
amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara
aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental
dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik
dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat
jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang
sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti
Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini
kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita.
Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan
semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya
tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam
menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka.
Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini
dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar
belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang,
Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai
destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah
bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu
pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat
antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan
amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain
itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah
atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan
negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan,
anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah.
Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur
patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih
buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa
haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku
komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme,
pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca
buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan
sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang
baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan
dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di
samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan
kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan,
amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal
yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif
kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di
rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara.
Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul,
tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan
contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak
ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1Malaysia,
ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa
haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan
dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya,
ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi
muda yang berwawasan.
Seterusnya,
ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau
kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi
muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu
bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak
seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten
Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh juga menceritakan
sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa
zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat
membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan
maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan
mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan
setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka
akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam
jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau
kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak
mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan
kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya
terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan
tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat
patriotik.
Akhir
sekali,
ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan
negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16
September
dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini,
semangat
patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila
anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar
cerita-cerita tentang kesengsaraan para
pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat
sendiri
kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab
sambutan sebegini diadakan. Kisah di sebalik kemewahan dan kedamaian
negara
akan dapat dirungkaikan dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan
dalam diri
mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi
melihat
Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini
juga,
kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain
dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan
antara
kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak
menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah
pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat
At-Tarmizi ada menyatakan bahawa ‘tiada
anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk
ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa
besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti
anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan
berwawasan.
No comments:
Post a Comment