I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, November 5, 2013

BAHAN TAMBAHAN RAMALAN KARANGAN BERPANDU SPM 2013


Ramalan 1
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang diperoleh apabila kita menuntut ilmu.

 Contoh Jawapan

   Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita ini jelas menekankan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang yang sememangnya penting serta perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuanlah yang akan menetukan kejayaan seseorang seandainya dimanfaatkan. Oleh itu, setiap orang seyogianya berusaha mencari seberapa banyak ilmu demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Ilmu Pelita hidup, demikianlah kata-kata hikmat yang menggambarkan pada kita manfaat yang diperoleh seandainya kita berilmu. Oleh itu, semua anggota masyarakat hendaklah menggunakan masa untuk memenuhkan ilmu di dada. Apabila seseorang itu berilmu, sudah tentulahlah pelbagai maslahat akan diperoleh. Persoalannya, apakah faedah yang diperoleh apabila kita menuntut ilmu ?

            Terdapat banyak maslahat ataupun kebaikan menuntut ilmu, antaranya ilmu membolehkan kita memperoleh kerja yang lebih baik. Dengan pelbagai ilmu yang dimiliki, peluang kerjaya seseorang akan lebih terbuka dan seseorang itu lebih mudah untuk mendapat kerja. Kita juga akan mampu menjawat jawatan yang lebih tinggi. Dengan jawatan dan gaji yang lumayan, seseorang itu mampu membantu kedua-dua ibu bapa dan memberikan kesenangan kepada mereka. InsyaAllah, hasrat dan impian yang terpendam selama ini akan direalisasikan jika kita mempunyai ilmu sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad yang bermaksud “barangsiapa yang mahu kehidupan di dunia, maka bagi mereka ilmu sandarannya” . Oleh itu, terbuktilah bahawa jika kita mempunyai ilmu, maka kita mampu meneruskan kehidupan dengan ilmu yang dimiliki. Kerja seperti doktor, peguam, jurutera, guru, akauntan dan sebagainya memerlukan mereka yang berilmu. Ingatlah, kuat ketam kerana sepitnya, kuat manusia kerana ilmunya. Sekiranya kita tidak memiliki ilmu, sudah tentulah kita tidak akan mendapat kerja yang kita idam-idamkan. Tegasnya, seseorang itu akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan terbuka sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan.
             Selain itu, kelebihan menuntut ilmu ialah dapat melahirkan individu yang memiliki minda kelas pertama. Masyarakat minda kelas pertama ini ialah masyarakat yang mampu berdaya saing kerana sudah tentu masyarakat yang sebegini memiliki jati diri dan akhlak yang terpuji berkat daripada ilmu yang dimiliki. Seandainya kita tidak mempunyai ilmu, maka kita tentu tidak mampu bersaing dengan orang yang lebih berjaya kerana tidak mempunyai kemahiran untuk mengahadapi cabaran. Masyarakat minda kelas pertama yang disegani dan dihormati lahir daripada masyarakat yang sentiasa mengutamakan aspek tarbiah yang berterusan sesama anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana mereka mengganggap bahawa ilmu itu adalah harta yang paling bernilai dengan harta yang lain. Dengan ilmu yang kita miliki, kita boleh diangkat menjadi pemimpin yang berketerampilan. Kita juga tidak mudah ditipu oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan diri kita dek kurangnya ilmu di dada. Golongan yang terpedaya dengan tipu helah golongan yang berkepentingan ialah golongan yang tidak berfikir panjang kerana mereka tidak boleh membezakan antara hak dan batil. Hal ini selaras dengan gurindam melayu yang berbunyi:
Kalau kamu rajin mengaji,
Tentu kamu akan dipuji.
           
            Akhir sekali, apabila seseorang itu menuntut ilmu, dia boleh mencipta pelbagai peralatan berasaskan keperluan semasa. Seseorang yang memilih bidang Teknik dan Vokasional umtuk melanjutkan pelajaran, sudah pasti didedahkan dengan kemahiran dan latihan dalam bidang-bidang tertentu. Latihan dan kepakaran yang dimiliki ini membolehkan seseorang itu untuk mencipta pelbagai peralatan berasaskan keperluan semasa. Ketika menuntut ilmu sama ada di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar telah diajar dan diterapkan dengan unsur inovasi dan kreativiti. Keadaaan ini membolehkan pelajar  mencipta sesuatu yang lebih kreatif dan inovasi bagi meningkatkan penguasaan diri. Selain itu, seseorang yang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains dan Teknologi sudah pasti dapat menyumbang idea dan kepakaran dengan mencipta teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara seperti mencipta mesin-mesin dan peralatan berteknologi tinggi dalam bidang pertanian dan perindustrian.  Hal ini membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sains dan Teknologi.
            Sudah terang lagi bersuluh, ilmu amat penting sekali dan memiliki banyak kebaikan dalam kehidupan kita. Ilmu yang ingin kita cari mestilah mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kedua-dua ilmu ini mestilah seimbang demi menjamin hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kita janganlah membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat. Gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berubah dari masa ke masa. Akhirulkalam, janganlah kita persia-siakan masa yang ada dengan menjadi manusia yang lalai tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Ramalan 2
Maklumat di bawah menerangkan kelebihan amalan bergotong-royong yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang kelebihan amalan bergotong-royong. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 Contoh Jawapan

Kelebihan Amalan Bergotong-Royong
Sejak dahulu lagi, amalan bergotong-royong telah diamalkan dan menjadi sebahagian daripada cara hidup atau adat resam masyarakat Melayu. Kini, amalan gotong-royong masih terus diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menjadi agenda penting dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang bekerjasama. Namun, sejak belakangan ini, amalan bergotong-royong sudah semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kita. Masyarakat pada hari ini sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tidak berkesempatan untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan tempat tinggal mereka. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memupuk semangat amalan bergotong-royong ini agar amalan ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Persoalannya, apakah kelebihan amalan bergotong-royong?
            Salah satu kelebihan amalan bergotong-royong ialah dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan bergotong-royong mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu. Amalan positif ini perlu melibatkan semua anggota masyarakat dalam satu kawasan kediaman tanpa mengira kaum atau usia. Semua penduduk melalui semangat bekerjasama dan bantu membantu serta berganding bahu bagai aur dengan tebing membersihkan taman permainan, longkang-longkang yang tersumbat, balai raya, rumah-rumah ibadat dan aktiviti-aktiviti lain. Secara tidak langsung, masyarakat yang berbilang kaum ini akan bekerjasama menjaga kawasan persekitaran dan memastikan keadaan sentiasa kondusif. Ahli masyarakat dapat merapatkan persefahaman antara kaum dan menanamkan nilai-nilai murni dalam jiwa mereka. Jelasnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dapat dipupuk menerusi amalan bergotong-royong.
            Selain itu, kelebihan amalan bergotong-royong juga dapat menjadikan kerja yang dilaksanakan lebih mudah dan cepat. Secara umumnya, sesuatu kerja yang berat, besar buatannya dan besar perbelanjaannya akan menjadi mudah dan cepat jika dilakukan bersama-sama. Sebagai contoh, jika sesuatu tempat itu menjadi kotor kerana terdapat sampah sarap yang berlonggokan, sekiranya anggota masyarakat bekerjasama membersihkan kawasan tersebut, sudah pasti kerja yang dilakukan menjadi lebih mudah dan lebih ringan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Setiap anggota masyarakat tidak perlu membazirkan masa dan wang untuk mengupah orang lain membersihkan kawasan tersebut kerana kerja-kerja tersebut mudah dan cepat. Orang ramai lebih memahami peranan dan tugas masing-masing menjadikan kerja yang dilakukan menjadi lebih cepat dan mudah. Masyarakat bekerjasama untuk melaksanakan tugas agar matlamat mewujudkan alam sekitar yang bersih dapat diwujudkan. Tegasnya, amalan bergotong royong dapat menyebabkan kerja yang berat dan susah menjadi lebih mudah dan cepat kerana tidak membebankan dan pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama.
            Akhir sekali, kelebihan amalan bergotong-royong ialah dapat melahirkan sikap prihatin dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada masa ini terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak ada masa untuk mengenali jiran tetangga mereka. Terdapat juga jiran-jiran yang bersikap individualistik dan materialistik kerana menganggap kehidupan di sekeliling mereka tidak penting. Namun, sekiranya amalan bergotong-royong ini dapat dihidupkan semula, amalan tersebut dapat mengurangkan sikap mementingkan diri sendiri kerana mereka pasti tidak mahu disisihkan dalam kalangan masyarakat. Sekiranya, anggota masyarakat turut serta dalam aktiviti gotong-royong di kawasan tempat tinggal mereka, mereka akan lebih bersikap prihatin dan bertolak ansur sesama jiran. Hal ini kerana semasa melakukan aktiviti gotong-royong, setiap anggota masyarakat harus bertolak ansur bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan dapat disiapkan dengan baik dan lancar. Jelasnya, amalan bergotong-royong dapat melahirkan sikap prihatin dan bertolak ansur.
            Kesimpulannya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat. Semua pihak perlulah bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong kerana amalan gotong-royong dapat mengeratkan hubungan sesama insan.


Ramalan 3
Arahan: Lihat gambar gambar di bawah dengan teliti.Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah mengatasi kesesakan jalan raya. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 Contoh Jawapan


Kemajuan negara hasil keringat pemimpin hari ini dan pada masa lalu turut dirasai oleh rakyat. Seiring dengan kemajuan negara, peningkatan pendapatan penduduk membolehkan rakyat mampu memiliki kenderaan sendiri. Kita dapat melihat sendiri hampir setiap keluarga mempunyai kenderaan. Selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan ini, kadar kesesakan di jalan raya turut semakin meningkat dan menjadi masalah utama kepada semua rakyat. Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya?
            Antara cara untuk menangani masalah ini termasuklah pihak kerajaan harus menambahkan rangkaian lebuh raya dengan membina lebih banyak jaringan pengangkutan terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Lebuh raya yang sedia ada perlu dinaikkan tarafnya. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperlebar jalan raya yang sempit. Langkah ini membolehkan jalan raya menampung bilangan kenderaan yang lebih banyak. Pembinaan jalan raya bertingkat turut harus dilaksanakan agar kesesakan dapat dikurangkan. Kerajaan juga perlu menambah dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Contohnya, perkhidmatan bas perlu dinaik taraf daripada bas mini kepada bas yang lebih selesa. Perkhidmatan komuter, LRT , dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi menarik minat orang ramai menaikinya. Jelasnya, pihak kerajaan berperanan penting dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan pembinaan jalan raya dalam menangani masalah ini.
            Selain itu, polis trafik perlu mengawal lalu lintas terutama ketika waktu kesesakan . Polis trafik perlu bertugas di laluan yang sentiasa mengalami masalah kesesakan khususnya pada waktu balik kerja dari pejabat. Dengan adanya pengawalan lalu lintas oleh pihak trafik, masalah seperti kegagalan fungsi lampu isyarat tidak lagi dapat menyebabkan kesesakan lalu lintas. Bukan itu sahaja, kesesakan jalan raya akibat kemalangan jalan raya turut dapat dikendalikan dengan cepat dan efektif kerana polis trafik telah sedia ada bertugas di jalan raya tertentu. Polis trafik turut dapat membantu memastikan kelicinan jalan raya dan seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Tegasnya, polis trafik menggalas tanggungjawab yang berat dalam mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya.
            Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja. Berkongsi kereta merupakan saranan yang ideal dalam usaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Hal ini demikian kerana apabila masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja, sudah tentu bilangan kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan. Namun demikian, langkah ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan faktor kemanusiaan. Ada segelintir masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri. Mereka tidak rela berkongsi kereta dengan pihak lain. Ada juga ramai yang tidak menyahut seruan berkongsi kereta untuk memudahkan diri ke sesuatu destinasi tanpa menyusahkan orang lain. Jelasnya, masyarakat kini perlulah menghakis sikap tersebut dan mengambil langkah yang proaktif seperti rela berkongsi kereta agar kesesakan di jalan raya dapat dikurangkan.

            Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu melarang kenderaan berat memasuki laluan utama dalam tempoh tertentu. Kenderaan berat hanya dibenarkan mengguna laluan utama pada masa-masa yang tertentu untuk memastikan kelicinan lalu lintas pada waktu puncak seperti waktu pagi dan waktu malam. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat keluar pada waktu ini atas urusan ke pejabat, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak polis trafik haruslah sentiasa meronda di laluan utama agar tiada kenderaan berat yang berada di jalan raya yang biasanya sesak. Sekiranya sesebuah kenderaan berat telah rosak di tengah- tengah jalan, kenderaan tersebut akan mengganggu pergerakan lalu lintas kerana saiznya yang besar akan menghalang kenderaan yang lain. Tegasnya, kenderaan berat mestilah dilarang memasuki laluan utama terutamanya pada waktu puncak.

            Kesimpulannya, kesesakan di jalan raya mendatangkan banyak kerugian terhadap masyarakat dari segi masa, tenaga dan kewangan. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa haruslah berganding bahu dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Bagi masyarakat pula, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri mestilah dihakis dan sedia menerima perubahan untuk kebaikan bersama.

No comments:

Post a Comment