I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, September 9, 2011

TAMADUN ISLAM : TEMA 1 – FAKTOR DAN KESAN HIJRAH


Nyatakan faktor-faktor dan kesan-kesan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Makkah ke Madinah.
Pendahuluan (3 markah)
a) Konsep Hijrah
1. Hijrah ertinya ‘perpindahan’, iaitu perpindahan orang Islam dari Makkah ke Madinah bermula pada 1 Muharram dan tarikh ini merupakan bermulanya tahun hijrah dalam kalendar Islam.
2. Orang Islam telah merangka strategi yang cukup teliti untuk berhijrah bagi memastikan kejayaannya dari segi agama, moral, sosioekonomi dan politik. Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana kesesuaiannya dari segi agama, moral dan sosioekonomi.
3. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah bin Abd al-Asad pada 1 Muharam tahun pertama Hijrah ( 16 Julai 622 M ). Rombongan pertama yang berhijrah ke Madinah ialah seramai 70 orang dan mereka berhijrah dalam kumpulan-kumpulan kecil agar tidak diketahui oleh kaum Musyrikin Makkah .
Isi Jawapan ( 20 markah )
Faktor-faktor penghijrahan ( 5x 2 markah = 10 markah)
1. Bai'atul Aqabah
Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.
2. Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.
3. Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.
4. Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.
5. Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.
6.Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.
7. Kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.
8.Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.
9. Wahyu
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.
Kesan-kesan penghijrahan.( 5 x 2markah = 10 markah)
1. Umum
Dapat mempergiatkan penyebaran agama Islam Hijrah merupakan suatu proses jangka panjang dalam perjuangan umat Islam dan dilakukan secara terancang dan teratur dari segi kerohanian dan kebendaan .Nabi Muhammad (SAW ) mendapat teman yang setia, jujur dan ikhlas dalam mengharungi perjuangan iaitu Ali dan Abu Bakar. Keredaan dan restu daripada Allah perlu sentiasa dipohon terutama di waktu-waktu kesusahan.
2) Perubahan Pusat Gerakan Islam Perkembangan politik
Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah. Bidang politik mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan ketenteraan di mana kegiatan ketenteraan Islam berkembang dengan pesat dan berjaya menundukkan dua buah empayar besar iaitu Parsi dan Rom.
3) Penyebaran Islam Semakin Meluas
Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.
4) Perubahan Kedudukan Nabi
Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.
5) Pertambahan Umat Islam
Hijrah umat Islam adalah atas arahan Allah dan merupakan pekerjaan yang berkaitan dengan agama. Tujuan utama hijrah adalah untuk menuntut keredaan Allah. Madinah dipilih adalah kerana kesesuaiannya untuk dijadikan pusat penyebaran agama Islam. Peristiwa hijrah ke Madinah juga terdapat banyak unsur-unsur mukjizat yang berkaitan dengan aspek keagamaan secara langsung dan dapat mempertingkatkan iman dan keyakinan orang Islam.Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari dua golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.
6) Penubuhan Negara Islam
Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.
7) Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah
Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.
8) Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar
Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
9) Permulaan Kalendar Hijrah
Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.
10) Perubahan Dasar Politik
Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.
11) Pertumbuhan Ekonomi
Kedudukan ekonomi orang Islam sewaktu di Madinah semakin kukuh. Orang-orang Muhajirin telah diberi bantuan oleh orang Ansar. Selain itu, Madinah merupakan kawasan yang sesuai untuk pertanian dan kedudukannya yang strategik untuk perdagangan. Setelah hijrah, sistem ekonomi Islam yang bertepatan dengan syariat Islam telah diperkenalkan dan ekonomi masyarakat Islam bertambah kukuh dan negara Islam menjadi lebih makmur dan stabil.
12) Sosial ( pembentukan ummah )
Semasa di Makkah, masyarakat Jahiliah mengamalkan cara hidup berkabilah sementara para peniaga pula bersifat individualistik. Penghijrahan telah menghapuskan nilai-nilai masyarakat Jahiliyah dan digantikan dengan nilai-nilai murni berpandukan akidah dan akhlak. Dalam sistem sosial Islam, setiap orang diberi kebebasan tanpa mengira kaum, agama dan keturunan di mana hidup berkabilah telah digantikan dengan sistem sosial dalam bentuk Ummah.
Kesimpulan ( 2 markah )
Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad ( SAW ) merupakan perjuangan Baginda untuk menegakkan ajaran agama Islam. Baginda didorong dan didesak oleh keperluan untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan lebih menguntungkan demi kebahagiaan dan kesejahteraan umat Islam. Umat Islam harus mengambil iktibar daripada penghijrahan Rasullulah ( SAW ) untuk meneruskan perjuangan hidup demi kebaikan umat Islam.
Penghijrahan ini juga telah membuka satu lembaran baru dalam episod penyebaran dan perkembangan agama Islam.Terlalu banyak kebaikan yang dinikmati oleh umat Islam dan umat manusia rentetan dari penghijrahan tersebut.

No comments:

Post a Comment