Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun-tamadun awal manusia.
Pendahuluan
a. Perkembangan pembinaan petempatan pada tamadun-tamadun awal bermula kira-kira 5000 SM. Antara petempatan-petempatan terawal ialah bahagian utara di Zawi Chemi Shanidar dan Shanidar di timur laut Rawanduz, Karim Shahir, Qalat Jarmo, Hassuna dan Tell Arpachiya di Mesopotamia, Mesir utara dan Mesir Selatan, dan kawasan Indo-Iran di Indus.
b. Pembinaan petempatan di sekitar kawasan pertanian dan lembah-lembah sungai seperti Sg. Tigris dan Sg Eupharates di Mesopotamia, Sg. Nil di Mesir, Sg. Indus di India dan Sg. Hwang Ho di China.
Isi-Isi Jawapan (7 isi X 3 m = 21 m )
Faktor-faktor yang mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun awal.
a. Pengaruh sungai dan sumber air:
Kebanyakan pembinaan petempatan-petempatan tamadun awal dipengaruhi oleh kedudukan sungai. Kawasan-kawasan yang berhampiran sungai menjadi pilihan pembinaan petempatan. Ini disebabkan sungai memberi sumber air minuman, makanan dan kegunaan dalam kehidupan. Contoh pembinaan petempatan di Mesopotamia berhampiran Sg. Tigris dan Sg. Eupharates, di Mesir lembah Sg. Nil menjadi pilihan petempatan manusia dan juga di India Lembah Sg Indus menjadi petempatan manusia.Sumber air telah mendorong manusia untuk hidup menetap dan membuka petempatan kekal kerana aktiviti ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perikanan. Sungai dan laut juga memainkan peranan penting dalam perhubungan dan pengangkutan.
b. Keadaan fizikal muka bumi:
Faktor fizikal muka bumi mempengaruhi pembinaan petempatan tamadun awal manusia. Kebanyakan kawasan petempatan tamadun awal manusia terdapat di dataran-dataran lanar, tanah pamah dan lembah-lembah sungai. Mempunyai kecerunan tanah yang rendah. Tanah rendah dan bentuk muka bumi yang rata sesuai untuk pembinaan rumah sebaliknya kawasan yang tidak rata dan bergunung-ganang tidak sesuai untuk petempatan.
c. Kesuburan tanah :
Kesuburan tanah amat mempengaruhi pembinaan petempatan-petempatan tamadun awal manusia. Kawasan yang mempunyai kesuburan tanah menjadi tarikan manusia menetap di sesebuah kawasan. Tanah yang subur dan kemudahan sumber air mewujudkan kegiatan pertanian dan penternakan. Lembah sungai seperti Tigris dan Euphrates merupakan tanah lanar yang sangat subur dan sesuai untuk pertanian. Di China Lembah Hwang Ho terdiri daripada tanah loes yang subur.
d. Kegiatan pertanian :
Kegiatan pertanian sebagai kegiatan ekonomi utama manusia dalam tamadun awal. Kegiatan pertanian dijalankan untuk menampung keperluan makanan seperti tanaman padi, gandum, barli dan lain-lain lagi. Disamping itu kegiatan penternakan dan menangkap ikan turut dijalankan. Kedudukan sungai yang berhampiran menyediakan sumber air dan sistem pengairan kepada kegiatan pertanian.
e. Migrasi dan Pertambahan penduduk :
Berlakunya proses migrasi ke kawasan-kawasan petempatan-petempatan baru kerana kesesuaian iklim , bentuk muka bumi dan kesuburan tanah. Faktor tarikan dari petempatan-petempatan ini menyebabkan pertambahan penduduk dari masa ke semasa. Perkembangan petempatan kekal membawa kepada pembentukan perkampungan dan perbandaran dalam tamadun awal.
f. Kewujudan organisasi sosial :
Kesan dari pertambahan penduduk telah membawa kepada perkembangan petempatan – petempatan kekal. Perkembangan perkampungan dan perbandaran telah membawa kewujudan organisasi sosial masyarakat. Pembahagian struktur sosial masyarakat berlaku kerana pengkhususan kerja untuk meningkatkan produktiviti.
g. Kewujudan organisasi politik :
Perkembangan dalam institusi sosial seperti institusi agama dan keluarga. Kewujudan institusi masyarakat ini melahirkan institusi negara. Kemunculan golongan pemerintah dalam petempatan tamadun awal seperti raja dan golongan pendeta.
h. Keagamaan dan Kepercayaan terhadap kuasa ghaib :
Masyarakat tamadun awal percaya bahawa kuasa-kuasa ghaib mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka mengambil kira kepercayaan-kepercayaan ini dalam membina petempatan. Dalam membangunkan petempatan-petempatan mereka membina rumah-rumah ibadat di kawasan yang lebih selamat. Mereka mengharapkan petempatan-petempatan mereka dirahmati oleh kuasa-kuasa ghaib.
i. Perkembangan perdagangan dan pertembungan budaya:
Kesan dari perkembangan kegiatan pertanian berlaku lebihan pengeluaran hasil pertanian. Hasil-hasil pertanian mula di perdagangkan ke tempat-tempat lain. Perkembangan aktiviti perdagangan membawa kepada perkembangan petempatan-petempatan tamadun awal.
j. Penguasaaan kemahiran dan teknologi :
Perkembangan kemahiran dalam menenun kain, membuat tembikar, membina rumah, pembuatan alat-alat logam dan penciptaan baru membawa kewujudan petempatan-petempatan dalam tamadun awal.
Kesimpulan
Perkembangan petempatan-petempatan tamadun awal manusia membawa pertumbuhan bandar-bandar. Kemunculan bandar Mohenjo Daro dan Harappa di lembah Indus, Anyang, Loyang dan Cheng Chow di Lembah Sungai Kuning serta Bandar Thebes dan Memphis di Mesir adalah merupakan bandar yang muncul dari petempatan awal yang berkembang maju.
No comments:
Post a Comment