I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, October 9, 2012

BM PMR-Panduan Meringkas dan Menjawab Pemahaman


BAHAGIAN A (i) MERINGKAS KARANGAN
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]
Perkara penting dalam meringkaskan karangan.
1. Kenal pasti kehendak dan tugasan soalan.
2. Tulis ringkasan berdasarkan urutan isi penting yang dikenal pasti dalam petikan.
3. Sebaik-baiknya SATU isi dalam SATU ayat.
4. Gunakan gaya bahasa sendiri tetapi tidak mengubah maksud asal petikan.
5. Gunakan penanda wacana yang sesuai. (selain itu, seterusnya)
6. Jangan bagi isi berdasarkan pendapat sendiri.
7. Jawab dalam satu perenggan sahaja.
8. Kira jumlah perkataan. (Jangan MELEBIHI 80 perkataan)
Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Panduan mencari isi …..
1. Baca secara luncuran dan “scan’ isi marker / pensil.
2. Guna teknik subjek dan predikat.
Sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna (subjek) + …………………………………………………………(isi – predikat)
3. Cari perkataan yang sinonim…….. sebab : kerana, punca, faktor, alasan dll.
4. Biasanya isi dalam ayat pertama setiap perenggan, selepas penanda wacana, sebelum contoh / statistik atau selepasnya, pada ayat terakhir atau di mana-mana teks.
Abaikan huraian, contoh, statistik. (isi sahaja)
Pendapat bahawa perubatan moden merupakan penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat. Hal ini terbukti apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa 80 peratus penduduk dunia bergantung pada perubatan tradisional. Kerana miskin, mereka tdak berupaya untuk membeli makanan, apatah lagi bagi mendapatkan rawatan moden.(1)
Belakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan tradisional berasaskan herba semakin bertambah (2) malah herba dianggap sebagai pelengkap kepada perubatan moden.(3) Para penyelidik mengakui bahawa kesedaran tentang kesan sampingan ubat-ubatan moden semakin meningkat.(4) Rakyat di negara kita pula semakin banyak yang mengidap penyakit kronik seperti barah dan AIDS sedangkan perubatan moden masih gagal menemukan penawarnya.(5) Keadaan seperti ini, ditambah dengan kos perubatan yang semakin tinggi(6) menyebabkan pesakit beralih kepada perubatan tradisional berasaskan herba. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba ini sewajarnya dikomersialkan dan dijual pada harga yang rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna.
Walau bagaimanapun, kita masih memerlukan perubatan moden kerana bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan melalui perubatan tradisional. Perubatan tradisional hanyalah untuk mengisi kekosongan yang ada dalam perubatan moden. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba dalam perubatan tradisional ini perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi di kebanyakan negara di dunia. Di Malaysia pula, perubatan tradisional berasaskan herba diamalkan sejak zaman-berzaman(7) seperti dalam rawatan resdung, rawatan kecantikan dan rawatan selepas bersalin.
Satu fakta yang jelas ialah bukan semua ubat moden yang diambil oleh pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh.(8) Oleh sebab itu, walaupun dua orang pesakit menghidapi penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberikan kesan yang sama kepada mereka. Selain itu, ubat-ubatan moden hanya merawat penyakit itu sahaja, sedangkan ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut.(9) Keadaan ini menyebabkan pesakit yang mengambil ubat-ubatan moden perlu bergantung pada ubat-ubatan tersebut sehingga akhir usia. [PMR 2007]
Contoh jawapan:
Antara sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna ialah kemiskinan dan tidak berupaya untuk membeli makanan apatah lagi bagi mendapatkan rawatan moden. Sebab lain ialah minat masyarakat kepada perubatan tradisional semakin bertambah dan dianggap pelengkap kepada perubatan moden. Selain itu, sebabnya perubatan moden masih gagal menemukan penawar bagi penyakit kronik dan kosnya pula semakin tinggi. Seterusnya, perubatan moden diamalkan sejak zaman-berzaman. Tambahan pula, ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut. (74 patah perkataan)
BAHAGIAN A (ii) PEMAHAMAN
[Masa yang dicadangkan : 10 minit]
[10 markah]
1. Perkara penting dalam pemahaman.
Memerhatikan huruf condong
maksud perkataan / rangkai kata.
Sebagai petikan sebahagian daripada soalan pemahaman dan KBKK.
2. Menjawab dengan ayat yang lengkap. Sebaik-baiknya SATU isi dalam SATU ayat.
3. Gunakan sebahagian soalan sebagai jawapan.
4. Ambil kira peruntukan markah. Soalan pemahaman teks jika isi mudah dan banyak (1m), jika isi sikit dan sukar (2m). Manakala soalan KBKK yang memerlukan isi dan sedikit huraian (2m). Bergantung kepada skema !!!
5. Gunakan penanda wacana yang sesuai. (selain itu, seterusnya)
Contoh :
1. Berikan maksud rangkai kata mengisi kekosongan.[2 markah]
Maksud rangkai kata mengisi kekosongan ialah memenuhi keperluan.
(sila uji jawapan anda dalam teks bagi melihat kesesuaian penggunaan dalam konteks)
2. Apakah yang perlu dilakukan untuk memajukan perubatan tradisional?
[4 markah]
Yang (Usaha) perlu dilakukan untuk memajukan perubatan tradisional ialah perubatan tradisional perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi supaya lebih berkesan. Selain itu, kajian bioteklogi mengenai ubat-ubatan tradisional ini perlu giat dijalankan dan ubat-ubatan berasakan herba wajar dikomersialkan serta dijual dengan harga yang rendah. (soalan pemahaman teks ; isi terdapat dalam teks)
3. Pada pendapat anda, mengapakah semakin ramai rakyat negara kita menghidap penyakit kronik? [4 markah]
Pada pendapat saya, semakin ramai rakyat negara kita menghidap penyakit kronik kerana faktor pemakanan yang banyak mengandungi bahan pengawet dan bahan kimia. Selain itu, amalan riadah kurang diamalkan oleh rakyat di negara ini sibuk bekerja. Seterusnya, amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan arak dan penagihan dadah turut menjadi punca. (soalan KBKK ; jawapan di luar teks / tiada dalam teks)

No comments:

Post a Comment