I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, September 10, 2017

Sambungan Ramalan Karangan UPSR 2017

Ramalan 9
Soalan: Sekolah kamu telah mengadakan "Kempen Bahasa Malaysia". Ceritakan tentang aktiviti yang telah dijalankan di sekolah kamu. Pendahuluan
- mengadakan Kempen Bahasa Malaysia
Isi-isi Penting
- merasmikan Kempen Bahasa Malaysia
- mengamalkan penggunaan bahasa secara sopan
- pelbagai aktiviti diadakan
- persembahan tarian Melayu
Penutup
- penyampaian hadiah dan majlis perasmian penutup oleh guru besar
Jawapan Lengkap
Sekolah saya telah mengadakan Kempen Bahasa Malaysia anjuran Persatuan Bahasa Malaysia. Kempen Bahasa Malaysia itu diadakan selama seminggu.
Guru besar telah merasmikan Kempen Bahasa Malaysia pada waktu perhimpunan yang diadakan di sekolah kami. Beliau berharap murid-murid dan guru-guru dapat memartabatkan Bahasa Malaysia dengan mengamalkan penggunaan bahasa secara sopan.
Pelbagai aktiviti telah diadakan di sepanjang minggu tersebut. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah pertandingan mengarang, pertandingan berbalas pantun, pertandingan teka silang kata clan pertandingan syarahan.
Selain itu, persembahan tarian Melayu seperti tarian zapin dan tarian lilin turut diadakan bagi memeriahkan Kempen Bahasa Malaysia itu. Di samping itu, semua guru dan murid diwajibkan menggunakan bahasa Malaysia dengan betul clan sopan apabila bertemu di mana-mana sahaja di dalam kawasan sekolah.
Para pemenang setiap pertandingan telah menerima hadiah yang disampaikan oleh GuruPenolong Kanan 1 dalam majlis perasmian penutup Kempen Bahasa Malaysia itu. Beliau berharap generasi muda terus mencintai bahasa Malaysia walaupun kempen itu telah berakhir.

Ramalan 10
Aktiviti di sekolah ( Bengkel Kecemerlangan Akademik )
Latihan : Satu program kecemerlangan akademik telah diadakan oleh pihak sekolah kamu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) di sekolah. Kamu telah ditugaskan untuk menulis berita tentang program kecemerlangan akademik tersebut. Rangka karangan : Pendahuluan : tempat peristiwa dan tarikh - Program Kecemerlangan Akademik Idea 1 : lokasi program kecemerlangan diadakan - jangka masa program - perasmi program Idea 2 : objektif program kecemerlangan - teknik menjawab soalan - berdisiplin dan yakin diri Idea 3 : pelbagai bentuk aktiviti - ceramah, bengkel, renungan - dikendalikan oleh Guru Pakar Idea 4 : menurut seorang peserta - memperoleh banyak ilmu - yakin untuk menghadapi UPSR Penutup : upacara penutup program - Yang Dipertua PIBG - cemerlang, disiplin, pekerti mulia Karangan Lengkap : ALOR SETAR, Sabtu - Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) sekolah terbabit mengadakan Program Kecemerlangan Akademik yang bermula pada 20 April 2012 dan berakhir pada 21 April 2012. Program ini dihadiri oleh 85 orang murid. Program tersebut mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada ibu bapa dan penjaga murid. Program Kecemerlangan Akademik yang berlangsung di bangunan Menara Jaya di sini telah dirasmikan olej Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Tuan Haji Asmee bin Haji Tajuddin. Menurut Tuan Haji Asmee, objektif program ini untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik belajar yang berkesan. Para peserta juga dibimbing tentang cara menjawab soalan UPSR yang betul dan pengurusan masa yang baik. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan disiplin dan yakin diri dalam kalangan murid. Program Kecemerlangan ini diisi dan disuntik dengan pelbagai bentuk serta teknik penyampaian ilmu yang berkesan. Antaranya termasuklah ceramah, bengkel, kembara akademik, dan sesi renungan. Seramai enam orang guru yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing telah mengendalikan program kecemerlangan akademik ini. Menurut seorang peserta program, Dhia Irdina binti Ahmad Rafaei, dia berasa sungguh gembira kerana berpeluang untuk mengikuti program tersebut. Menurutnya lagi, setelah mengikuti program tersebut, dia memperoleh banyak tip pembelajaran. Di samping itu, dia juga lebih berkeyakinan untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan datang. Upacara perasmian penutup Program Kecemerlangan Akademik ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Mergong Jaya, Tuan Haji Arif bin Ahmad Saufi. Beliau mengharapkan program ini dapat melahirkan murid yang cemerlang, berdisiplin, dan bepekerti mulia.

Ramalan 11
Aktiviti di sekolah - majlis perpisahan Tahun Enam.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Hadirin sekalian, Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara. Hadirin sekalian . Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami. Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya; Ramai orang menanam padi, Padi ditanam hingga ke seberang, Banyak budi perkara budi, Budimu guru dikenang orang. Sekian, terima kasih.

Ramalan 12
Ucapan : Majlis Perpindahan Guru Kelas
Guru kelas kamu akan berpindah ke sekolah lain. Sebagai Ketua Kelas, kamu diminta menyampaikan ucapan dalam satu majlis perpisahan.
Yang dihormat Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, yang dikasihi guru-guru, yang disayangi Cikgu Ahmad iaitu guru kelas serta rakan-rakan sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mewakili murid kelas 6 Alpha untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Kami semua berasa sungguh terkejut dan sedih apabila mendengar berita perpindahan guru kelas kami.
Hadirin sekelian,
Cikgu Ahmad sudah lama berkhidmat di sekolah ini. Beliau mengajar kami mata pelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, beliau juga mengajar kami mata pelajaran Kajian Tempatan.
Cikgu Ahmad seorang yang sangat baik dan penyayang. Beliau juga merupakan guru yang berdedikasi. Beliau mengajar kami dengan bersungguh-sungguh.
Cikgu Ahmad telah banyak menyumbang jasa kepada sekolah kita. Banyak murid tahun 6 mendapat gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini disebabkan usaha beliau yang gigih mengajar kami tanpa jemu.
Hadirin yang dihormati,
Cikgu Ahmad merupakan guru penasihat pasukan bola sepak SK Kerteh. Beliau selalu melatih pemain bola sepak untuk meningkatkan kemahiran dan stamina. Pada tahun 2014, kita telah mendapat johan bagi Pertandingan Bola Sepak bawah 12 Tahun peringkat kebangsaan.
Kami mendoakan semoga cikgu gembira dan bahagia di sekolah baharu. Kami akan sentiasa mengingati cikgu. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:
Hari ini hari Ahad
Lusa hari Selasa
Terima kasih Cikgu Ahmad
Jasa cikgu kami tak lupa
Sekian, terima kasih.

Ramalan 13
Pengalaman mengunjungi ke satu tempat yang menarik

Ramalan 14
Membaca Jambatan Ilmu
Membaca merupakan salah satu tabiat yang amat berfaedah. Mereka yang mempunyai tabiat ini dapat banyak kelebihan dan manfaat.
Seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Bahan bacaan seperti buku-buku ilmiah dan majalah boleh merangsang pemikiran kita. Oleh itu, pemikiran kita sentiasa kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.
Tabiat suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Misalnya, kita boleh membaca buku-buku cerita, novel dan majalah. Perbendaharaan kata yang meluas baik dalam bahasa Malaysia mahu pun bahasa Inggeris akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi secara lisan ataupun bertulis.
Di samping itu, tabiat suka membaca boleh menambah pengetahuan kita. Contohnya, jika kita sering membaca buku-buku berkaitan sains dan sejarah. Dengan itu, pengetahuan tentang konsep sains dan sejarah boleh ditingkatkan dan sekali gus membantu dalam proses pembelajaran di sekolah.
Seterusnya, tabiat suka membaca boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Membaca buku-buku pelajaran, majalah dan buku cerita amat bermanfaat kepada kita daripada membuang masa dengan bermain atau menonton televisyen sahaja. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia.
Kesimpulannya, tabiat membaca memang mempunyai banyak kelebihan. Maka kita harus memupuk tabiat suka membaca ini sejak kecil lagi. Bak kata orang bijak pandai, “ membaca jambatan ilmu”.

Ramalan 15
Kepentingan kokurikulum Kokurikulum ialah aktiviti di luar kelas. Contoh aktiviti kokurikulum ialah perkhemahan, bersukan, berpesatuan dan sebagainya. Aktiviti kokurikulum mengajar kita untuk berdikari. Kokurikulum dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Kita akan belajar tentang latar belakang sukan atau persatuan, matlamat ia ditubuhkan, dan sebagainya. Aktiviti yang disertai seperti pekhemahan, dan lawatan dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman hidup. Kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Kita tidak membuang masa dengan melakukan perkara sia-sia. Aktiviti kokurikulum yang diadakan diluar waktu sekolah menghindakan murid dari terdedah kepada unsur negatif yang terdapat di persekitaran. Selain itu, aktiviti kokurikulum boleh menyihatkan badan dengan melalui aktiviti sukan. Bersukan akan membuatkan badan kita sihat dan otak kita cerdas. Bersukan juga boleh meningkatkan pretasi diri. Akhir sekali, kokurikulum mampu mendisiplinkan serta membentuk peribadi diri yang mulia untuk diri kita. Ia mengajar murid menepati masa, bantu membantu antara satu sama lain, bertanggungjawab dan amanah dalam melakukan tugas.
Setiap murid harus menyertai aktiviti kokurikulum kerana ia membentuk murid berakhlak mulia dan memupuk jati diri. Aktiviti kokurikulum juga harus diperluas bagi memberikan lebih banyak faedah kepada murid-murid.

Ramalan 16
Kelebihan sukan / riadah
Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.
Salah satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh badan.Apabila kita berakreasi seperti berbasikal,bermain badminton dan sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat.Sesi latihan permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang.Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.
Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah.Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

Ramalan 17
Amalan budi bahasa

Ramalan 18
Amalan jimat cermat
Boros bermakna suka mengeluarkan sesuatu seperti wang secara berlebih-lebihan manakala jimat cermat pula bermaksud sangat berhati-hati dalam membelanjakan wang. Perkara ini berkaitan dengan pepatah Melayu yang menyatakan ”ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Hal ini membuktikan bahawa sikap berjimat cermat merupakan amalan yang mulia dan memberi banyak manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.
Faedah berjimat cermat yang pertama ialah dapat menjamin masa depan yang lebih baik. Seseorang yang ada wang simpanan tidak perlu lagi membanting tulang apabila sudah bergelar warga emas. Mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk meneruskan kehidupan tanpa meminta bantuan daripada sesiapa walaupun kepada anak-anak sendiri kerana anak-anak mempunyai tanggungjawab mereka sendiri. Melalui perkara ini, jelaslah bahawa orang yang berjimat cermat lebih selesa hidupnya berbanding dengan orang yang boros.
Selain itu, antara faedah amalan berjimat cermat termasuklah membantu para pelajar untuk melanjutkan pelajaran pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana yuran pengajian semakin mahal. Oleh yang demikian, ibu bapa yang bijak merancang akan mula membuat simpanan untuk anak-anak sejak awal-awal lagi bak kata peribahasa "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Berdasarkan perkara yang dibincangkan ini, jelaslah bahawa sikap berjimat cermat akan dapat membantu kita melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Di samping itu, manfaat amalan berjimat cermat yang ketiga ialah membantu kita pada masa kecemasan. Jika kita tiba-tiba diserang penyakit kronik seperti strok, sakit jantung dan sebagainya, kita memerlukan rawatan segera. Kos pembiayaan rawatan untuk penyakit-penyakit seperti ini boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Kita banyak melihat pesakit yang menunggu sekian lama untuk menerima rawatan hanya kerana tidak cukup wang. Oleh hal yang demikian, mereka yang mempunyai simpanan tidak akan menghadapi sebarang halangan untuk menbiayai kos rawatan.
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dibuktikan bahawa sikap jimat cermat banyak memberikan faedah. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah sediakan payung sebelum hujan agar perkara kecemasa yang tidak diduga dapat dihadapi dengan tabah. Oleh itu, marilah kita mengamalkan amalan mulia ini kerana amalan ini memberi banyak manfaat.

Ramalan 19
Kepentingan Air Air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini. Manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang memerlukan air untuk meneruskan kehidupan. Air ialah sumber minuman kerana tanpa air hidupan akan mati. Sumber minuman ini boleh didapati daripada aliran anak sungai dan diproses sebelum boleh digunakan. Tumbuhan pula bergantung kepada air hujan supaya dapat hidup dengan subur dan menjalankan proses fotosintesis. Selain itu, manusia juga menggunakan air untuk menjalani kehidupan seharian. Contohnya untuk memasak, mandi, mencuci dan sebagainya. Tanpa air, kehidupan manusia akan terjejas dan akan berlakulah kekalutan untuk mendapatkan air. Air juga adalah sumber penting kepada para petani untuk tamanan mereka. Tanpa air, tamanan akan kering dan layu serta terjejaslah sumber pendapatan para petani. Manusia juga akan mendapat kesusahan kerana kekurangan sumber makanan yang berasaskan sayur-sayuran dan bijirin. Di samping itu, kilang-kilang juga sangat memerlukan air dalam penghasilan produk mereka. Contohnya kilang yang membuat ais, minuman dan makanan. Tanpa air, operasi kilang akan terhenti dan pastinya menyebabkan kerugian yang besar kepada pekilang. Kesimpulannya, air adalah sumber semula jadi yang sangat penting dan berkaitan dengan kehidupan manusia. Namun, sebagai pengguna kita hendaklah berjimat semasa menggunakan air supaya tidak berlaku pembaziran.

Ramalan 20
Kepentingan ICT
Dalam mendepani arus globalisasi, Malaysia telah berjaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pelbagai kemudahan teknologi yang dicipta marcapada ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila manusia berlumba-lumba untuk mencipta teknologi yang memudahkan kehidupan seharian. Terdapat pelbagai kepentingan prima penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah memudahkan manusia untuk mendapatkan maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan pelajar. Menerusi teknologi maklumat ini, manusia akan dapat mempelajari pelbagai maklumat keduniaan yang dapat membuka dan meluaskan minda mereka. Selain maklumat pendidikan, kita juga dapat mencari maklumat mengenai hiburan, isu-isu politik dan sebagainya. Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa sempadan. Pengenalan mengenai laman sosial seperi "Facebook","Twitter","Friendster" dan sebagainya telah menghubungkan manusia dengan dunia luar. Sebagai contoh seseorang yang berada di luar negara sama ada atas urusan perniagaan atau menuntut ilmu dapat melepaskan rindu serta bertanya khabar kepada keluarga tercinta yang berada di perantaan hanya dengan menggunakan teknologi laman sosial. Seterusnya, teknologi maklumat ini juga memudahkan ahli pernigaan menjalankan aktiviti pernigaan mereka hanya di dalam talian sahaja sekaligus dapat menjimatkan kos dan tenaga. Aktiviti perniagaan yang dijalankan melalui talian bukan sahaja dapat memudahkan urusan pekerja, bahkan ia juga dapat memudahkan pembeli atau pengguna. Akhir sekali, manusia dapat melakukan pembayaran bil dan urusan perbankan melalui laman sesawang sahaja. Manusia tidak perlu menghabiskan tenaga dan bersusah-payah untuk menguruskan pelbagai pembayaran dan urusan-urusan kewangan. Ia juga memudahkan seseorang yang terlalu sibuk dengan kerja seharian membuat pembayaran dengan mudah. Kesimpulannya, teknologi maklumat yang ada marcapada memainkan peranan vital kepada setiap manusia. Teknologi maklumat ini haruslah digunakan dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang dapat kita peroleh menerusi peranan teknologi maklumat itu sendiri.

Ramalan 21
Kebaikan belajar secara berkumpulan Murid mempunyai cara yang tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran mereka . Ada yang suka belajar di perpustakaan ,di rumah dan ada juga yang suka belajar secara bersendirian. Antara teknik belajar yang begitu popular dalam kalangan murid-murid sekolah pada masa sekarang ialah belajar dalam berkumpulan. Belajar secara berkumpulan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan belajar berseorangan. Penerangan dan perbincangan dengan kawan-kawan akan membuat kita lebih mudah mengingati apa yang dipelajari. Kesannya, sesuatu pelajaran itu akan sentiasa kekal di dalam minda kita. Belajar secara berkumpula juga tidak membosankan .Perbincangan yang dibuat akan menjadikan kita lebih bersemangat dan berminat untuk belajar. Ini kerana suasana pembelajaran tidak kaku dan kita boleh bercakap untuk menyuarakan pendapat. Kita juga akan memperoleh maklumat yang lebih banyak dan mendalam kerana rakan-rakan dalam kumpulan tersebut membaca buku rujukan yang berlainan tentang tajuk yang dibincangkan. Dengan ini semua maklumat tersebut dapat dikongsi bersama. Kesannya, sesuatu tajuk itu akan dapat difahami dengan lebih mendalam. Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan lebih banyak membantu murid-murid memahami sesuatu tajuk dengan berkesan berbanding dengan belajar secara bersendirian. Oleh itu, murid-murid boleh memilih kaedah pembelajaran yang bersesuaian untuk mencapai kecemerlangan.

Ramalan 22
Kebaikan amalan bantu-membantu  sesuatu pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah - berganding bahu ibarat aur dengan tebing  menjimatkan masa dan tenaga - kerja yang dilakukan cepat siap  menjimatkan belanja - jika sesebuah majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong (tolong-menolong), tidak perlu membayar upah pekerja, katering atau kos penyediaan makanan, kos pembinaan balai raya/surau di kawasan kediaman dapat dijimatkan jika penduduk saling menolong membinanya.  memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan - belajar bekerjasama, bertoleransi dan bergaul mesra dengan anggota masyarakat  mengikis sifat mementingkan diri  mengeratkan silaturahim/hubungan sesama anggota masyarakat  mewujudkan perpaduan kaum - masyarakat hidup harmoni - saling membantu tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama  meringankan beban orang lain - golongan yang senang akan membantu golongan yang susah - kesejahteraan dan keharmonian dapat dikekalkan.

Ramalan 23
Cara-cara menjaga kesihatan diri
Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai.Oleh itu, kita seharusnya menjaga kesihatan dengan langkah yang efektif.
Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.Pemakanan yang seimbang mestilah berpandukan kepada piramid makanan.Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang berperanan membekalkan pelbagai jenis mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita.Di samping itu,kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
Selain itu,kita mestilah mengamalkan amalan bersukan dan bersenam.Seseorang individu mestilah menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu dan 20 minit bagi setiap sesi.Hal ini demikian kerana bersenam akan dapat menyihatkan tubuh badan di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal.
Tambahan pula,kita mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.Hal ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang penyakit.Pemeriksaan kesihatan mestilah kerap dilakukan supaya dapat memulakan rawatan dari peringkat awal sekiranya didapati menghidap sebarang penyakit.
Di samping itu,setiap individu mestilah mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi.Dalam kesibukan menjalani aktiviti harian,keperluan tubuh badan tidak wajar diabaikan.Tubuh badan kita memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus berfungsi dengan baik.Tanpa rehat yang secukupnya,tubuh badan akan menjadi letih dan lesu sekaligus menyebabkan semua aktiviti tergendala.Oleh itu,rehat dan tidur yang cukup amat diperlukan.
Akhir sekali,kita mestilah menjaga kesihatan dengan baik sejak peringkat awal lagi.Sesungguhnya,kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai. Jangan nanti terhantuk baru terngadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Ramalan 24
Cara-cara menjaga keselamatan diri
Pendahuluan
– Nyawa amat berharga-tidak dapat ditukar dengan wang ringgit
Idea 1
-Mematuhi undang-undang jalan raya
Idea 2
-Menggunakan kemudahan yang disediakan – jejantas/garisan belang
Idea 3
-Bertimbang rasa –sabar memandu di jalan raya
Idea 4
-Pastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik- memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan
Penutup
-Ingatlah orang tersayang-berhati-hati di jalan raya.

Ramalan 25
Cara menghormati ibu bapa
Ibu bapa ialah insan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Tanpa mereka kita tidak akan berpeluang merasa nikmat kehidupan di muka bumi ini. Justeru sebagai seorang anak, kita perlulah sentiasa menghormati mereka.
Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda menghormati mereka. Antaranya ialah dengan menunjukkan kepatuhan dan ketaatan kepada mereka. Sebagai ibu bapa mereka akan menentukan apa yang terbaik untuk anak-anak. Sudah semestinya setiap keputusan atau pilihan yang mereka lakukan adalah bertujuan untuk kebaikan kita. Tidak ada mana-mana ibu bapa di dunia ini pun yang bertindak atau membuat keputusan yang boleh merosakkan kehidupan anak-anak.
Kita juga boleh menunjukkan rasa hormat kepada mereka dengan cara mendengar nasihat dan menerima setiap teguran daripada mereka dengan hati yang terbuka. Sebagai manusia biasa kita tidak mungkin lari daripada tersilap langkah dan melakukan kesilapan. Nasihat dan teguran mereka bertujuan untuk memberi bimbingan dan panduan demi kebaikan kita sendiri.
Di samping itu, belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran juga merupakan satu cara yang boleh kita lakukan sebagai tanda menghormati ibu bapa. Ibu bapa telah bersusah payah melahirkan kita, membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita. Mereka bermandi peluh untuk menyara dan membesarkan serta bersengkang mata menjaga kita ketika kita sakit. Sebagai membalas jasa mereka, kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh agar berjaya mencapai cita-cita. Kejayaan dalam pelajaran pastinya akan membuatkan ibu bapa kita berasa bangga dan gembira.
Selain itu, membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah yang bersesuaian seperti mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk selepas makan, membersihkan halaman rumah serta membantu menjaga adik juga adalah merupakan satu lagi cara menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang terhadap mereka. Bantuan kita dapat meringankan beban tugas serta keletihan mereka bekerja seharian. Mereka tentunya berasa gembira dan bangga mempunyai anak-anak yang ringan tulang.
Secara ringkasnya dapatlah dirumuskan bahawa terdapat banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada kedua-dua ibu bapa kita. Menghormati dan membalas jasa ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak dan ia juga dituntut oleh agama. Hormati dan sayangilah ibu bapa sementara mereka masih ada.

No comments:

Post a Comment