Cara-cara Menghormati Ibu Bapa
*Mendengar nasihat ibu bapa
*Bercakap dengan sopan
*Menjaga tingkah laku
Ibu bapa merupakan insan yang banyak berjasa kepada anak-anak. Mereka telah mengasuh dan mendidik anak-anak “bagai menatang minyak yang penuh”. Oleh itu, anak-anak perlu membalas jasa dengan menghormati mereka.
Antara langkah untuk menghormati ibu bapa termasuklah anak-anak perlu mendengar nasihat ibu bapa pada setiap masa. Hal ini dikatakan demikian kerana nasihat ibu bapa sangat berguna untuk masa hadapan yang cerah. Nasihat ibu bapa juga dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dalam aktiviti negatif.
Selain itu, anak-anak perlu bercakap dengan sopan semasa berkomunikasi dengan ibu bapa. Hal ini disebabkan oleh setiap anak wajar menjaga perasaan ibu bapa yang membesarkan mereka daripada alam buaian hingga dewasa. Hati ibu bapa juga sangat mudah tergores apabila anak-anak bercakap kasar kepada mereka.
Bukan itu sahaja, anak-anak mestilah menjaga tingkah laku mereka seperti tidak berkasar dengan orang lain dan sentiasa berpakaian sopan. Tindakan ini juga sangat penting supaya maruah keluarga tidak akan tercalar. Pada masa yang sama, ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap anak-anak yang berakhlak mulia.
Konklusinya, anak-anak perlu sentiasa berbuat baik tehadap ibu bapa agar hidup sentiasa dirahmati oleh Tuhan.
KARANGAN BERFORMAT : LAPORAN
LAPORAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN SJK Keat Hwa
Pada 5 September 2017 yang lalu, SJK Keat Hwa, Alor Setar telah menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-60. Sambutan ini diadakan di dewan sekolah. Seluruh murid telah terlibat untuk menjayakan majlis kali ini.
Majlis pada hari ini dimulakan dengan bacaan doa selamat dan nyanyian lagu Negaraku. Seterusnya, Tuan Guru Besar, Encik Henry telah membacakan perutusan Perdana Menteri Malaysia bersempena dengan sambutan kemerdekaan kali ke-60 seterusnya merasmikan majlis pada hari ini.
Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan persembahan video ringkas tentang dokumentari perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Leftenan Adnan dan Tunku Abdul Rahman. Semua murid kelihatan terpegun apabila menonton video dokumentari itu kerana melihat penderitaan penduduk Tanah Melayu sebelum merdeka. Selain itu, majlis pada hari ini diserikan lagi dengan pengucapan puisi patriotik oleh saudari Mary yang penuh bersemangat. Semua murid memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
Majlis pada hari ini berakhir dengan nyanyian lagu patriotik berjudul Tanah Pusaka. Para hadirin kelihatan bersemangat ketika menyanyikannya. Majlis pada hari ini juga tamat pada jam 10.00 pagi. Selepas bersurai, murid-murid masuk ke kelas untuk meneruskan sesi pengajaran dan pemelajaran seperti biasa. Sekian, terima kasih.
Laporan disediakan oleh 7 September 2017
(Low Ban Heng)
Setiausaha Pengawas
SJK Keat Hwa,
Alor Setar.
KARANGAN JENIS CERITA : Habiskan cerita.
Habiskan cerita anda dengan ayat berikut.
.....Aku memohon maaf kepada Guru Besar sekolahku dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi.
Aku merupakan murid tahun 6 Emas di Sekolah Kebangsaan Keat Hwa, Alor Setar. Rakan-rakan menggelarkanku sebagai Kingsley. Mereka menggelarkan aku begitu kerana aku terkenal dengan sikap suka membuli murid yang lebih lemah. Aku hebat membuli tetapi aku lemah dalam semua mata pelajaran.
Pada suatu pagi, aku cuba membuli murid darjah tiga. Aku memintanya wang sebanyak RM5.00. Dia memberikan wang itu tanpa banyak bicara. Aku sangka, akulah yang hebat ketika itu. Aku memperoleh wang dengan mudah. Namun begitu, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Murid itu telah melaporkan perkara itu kepada guru disiplin. Aku telah dirotan di hadapan rakan-rakanku.
Aku berasa sangat malu. Air mukaku telah jatuh. Hatiku sarat dengan dendam kesumat. Aku mengambil keputusan untuk memancitkan tayar guru disiplin itu. Keesokan harinya, aku sudah bersedia dengan paku. Akalku sudah tidak boleh berfikiran waras. Aku nekad, aku akan membocorkan tayar keretanya. Sedang aku asyik melakukan kerja terkutuk itu, aku telah ditangkap oleh pengawas. Aku dibawa menghadap Guru Besar.
Ketika aku melangkah ke bilik Guru Besar, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaanku. Kaki menggeletar. Aku berfikir yang bukan-bukan. Aku berasa bimbang. Aku pasti Guru Besar pasti akan menghubungi ibu bapaku. Pada masa yang sama, sudah tentu aku akan digantung sekolah. Tambahan pula, UPSR akan berlangsung sebulan sahaja lagi.
Guru Besar mempelawaku duduk. Suaranya sangat lembut. Dia hanya tersenyum melihatku yang pucat. Wajahku ibarat ayam berak kapur. Beliau berdiri di sisiku dan mengusap rambutku. Kemudian, dia menegur kesalahanku. Dia menasihatiku dengan bahasa yang menyentuh jiwaku. Aku menangis teresak-esak. Aku memohon maaf kepada Guru Besar sekolahku dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi.
FAEDAH MENYERTAI AKTIVITI KOKURIKULUM
Kokurikulum bermaksud aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah. Sebagai contoh, unit beruniform, kelab sukan dan permainan. Aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah membawa manfaat yang banyak kepada setiap murid.
Antara faedah menyertai aktiviti kokurikulum termasuklah murid-murid akan dapat belajar bekerjasama dengan murid-murid yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap aktiviti dalam kokurikulum memerlukan kerjasama seperti memasang khemah dan kawad kaki. Murid-murid juga akan belajar mendengar arahan ketua unit dan bekerjasama dengan ahli lain bagai “aur dengan tebing”.
Selain itu, aktiviti kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid yang berbilang bangsa. Hal ini disebabkan oleh murid-murid akan dapat bergaul dan berinteraksi dengan rakan yang berbilang bangsa ketika waktu kokurikulum. Sebagai contoh, program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dapat mengukuhkan perpaduan sejak bangku sekolah ibarat peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat menyihatkan tubuh murid-murid dari segi fizikal dan mental. Ketika aktiviti kokurikulum, murid-murid akan menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam yang dapat membakar lemak. Murid-murid tidak akan mudah menghidap obesiti atau penyakit kronik yang lain. Pada masa yang sama, minda juga menjadi cerdas.
Konklusinya, aktiviti kokurikulum seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah sangat bermanfaat kepada murid-murid. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan murid-murid agar aktif dalam kokurikulum untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.
KARANGAN BERFORMAT : BERITA
Alor Setar, Jumaat-Sekolah Jenis Kebangsaan Keat Hwa telah menganjurkan sambutan Bulan Kemederkaan pada bulan Ogos lalu. Tujuan Bulan Kemerdekaan ini diadakan adalah untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid. Di samping itu, sambutan ini juga dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang sejarah kemerdekaan negara. Murid-murid juga dapat dipupuk amalan bersyukur dan menghargai kemajuan yang dicapai oleh negara.
Pada 15 Ogos, upacara perasmian sambutan bulan berkenaan telah dilakukan oleh Tuan Guru Besar; Encik Henry. Dalam perutusan sambutan bulan kemerdekaan tersebut, beliau telah mengingatkan murid-murid supaya berasa bersyukur dapat tinggal di negara yang aman. Kemudian, acara diteruskan dengan persembahan deklamasi sajak dan koir bertemakan kemerdekaan. Persembahan pada hari itu disempurnakan oleh saudara Shahid dan Shivaneswaran dengan penuh semangat.
Selain itu, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan termasuklah pertandingan pidato, pertandingan menulis esei, pertandingan melukis poster dan pameran sejarah kemerdekaan seperti perjuangan Leftenan Adnan. Setiap kelas tahap dua telah menghantar peserta bagi pertandingan yang diadakan. Penyertaan murid-murid begitu menggalakkan terutama bagi pertandingan melukis poster dan menulis esei.
Ketika acara penutup pada 16 September, Tuan Guru Besar telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan. Hadiah yang disampaikan ialah trofi dan sijil penghargaan. Sebelum bersurai, semua murid telah melaungkan kalimah keramat “Merdeka” sebanyak 7 kali dengan penuh bersemangat.
Diharapkan melalui program sebegini, semangat cinta akan negara sentiasa subur dan berkekalan dalam sanubari setiap murid. Semangat patriotisme ini amat penting bagi murid-murid yang akan menjadi generasi pelapis negara.
KARANGAN: PERSEDIAAN ANDA UNTUK MENGHADAPI KEJOHANAN OLAHRAGA
o Saya akan membuat latihan intensif pada setiap hari.
o Saya akan makan makanan yang sihat dan seimbang.
o Saya akan mendapatkan rehat yang secukupnya.
Sekolah saya akan menganjurkan sukan tahunan pada bulan Jun yang akan datang. Hati saya semakin teruja apabila saya turut dipilih untuk mewakili Rumah Hang Tuah dalam beberapa acara balapan seperti lari 100 meter, 4x100 meter dan 4x400 meter. Oleh itu, banyak persediaan yang perlu saya lakukan untuk menhadapi hari kejohanan.
Antara persediaan yang akan saya lakukan termasuklah membuat latihan intensif pada setiap hari untuk menguatkan stamina. Pada masa yang sama, saya dapat membiasakan diri dengan situasi pertandingan seperti peribahasa “alah bisa tegal biasa”. Ketika latihan, saya akan berlatih dengan bersungguh-sungguh dan mendengar arahan daripada jurulatih. Latihan yang saya lakukan merangkumi joging, bangkit tubi dan tekan tubi.
Selain itu, saya juga perlu makan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan. Hal ini disebabkan oleh makanan yang seimbang dapat membekalkan tenaga malah memastikan berat badan saya sentiasa ideal. Oleh hal yang demikian, saya akan sentiasa makan banyak sayur dan buah-buahan. Pengambilan makanan yang seimbang juga dapat mengelakkan masalah pertambahan berat badan yang akan menjejaskan prestasi saya ketika hari kejohanan.
Di samping itu, saya juga akan memastikan agar saya mendapat rehat yang secukupnya. Hal ini dikatakan demikian kerana fizikal seseorang memerlukan rehat setelah seharian bekerja keras. Rehat yang cukup dapat mengelakkan kecederaan seperti kejang otot dan lenguh-lenguh sendi. Bukan itu sahaja, saya akan dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran agar tidak menjadi seperti peribahasa “yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran”.
Konklusinya, saya perlu melaksanakan usaha yang banyak untuk menjadi atlet cemerlang untuk rumah sukan dan sekolah. Oleh itu, saya perlu gigih berusaha dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk menjadi salah seorang olahragawan sekolah seperti peribahasa “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.
CARA-CARA MEMUPUK BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN MURID
o Ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak.
o Pihak sekolah hendaklah menganjurkan kempen membaca.
o Ibu bapa perlu mewujudkan perpustakaan mini di rumah.
No comments:
Post a Comment