FAEDAH DASAR 1 MURID 1 SUKAN
Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya
satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan
melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang
tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan
dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui
dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti
sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan,
sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi
murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program
Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang
mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap
murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi
1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras
dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.
Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan
demi kepentingan bersama.
Dasar 1 Murid
1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh
dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar
pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah
unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak
langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam
kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan
sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya
satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang
tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun 4
hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6
di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3
digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang
berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang
syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.
Selain itu, Dasar 1
Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar
menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana
badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan
jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal.
Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia
yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan
seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan
dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana
golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang
berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia
merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di
negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan
memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha
membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah
bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini.
Jika kita singkap dari
perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan
antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan
kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia
sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana
kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55
tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan
kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan
harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama
dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan.
Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna
kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul
sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami
budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1
Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seperkara
lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan
akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah
daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak
aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana
terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan
bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti
itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu
memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola
sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka.
Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki
badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat
menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara
implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek
kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan
kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
Pada masa yang sama, Dasar
1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan
sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan
berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai
lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah
atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada
masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang
berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu
meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang
kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara
di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti
Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan
seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan
negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang
digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan semakin terang,
bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa
kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus
memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti
sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1
Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1
Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan
tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan
batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk
menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang,
gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya
angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari
terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia
terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
No comments:
Post a Comment