I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, November 8, 2018

TEKNIK MENJAWAB RUMUSAN BM SPM


Strategi Menjawab
1.     Membaca arahan soalan dengan teliti.
2.     Mengenal pasti kehendak soalan.
3.     Pelajar diingatkan bahawa bagi setiap soalan mempunyai dua kata kunci atau arahan atau tugasan iaitu:
(a) Arahan pertama meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersurat.
(b) Arahan kedua meminta pelajar mencari dan mengenal pasti isi-isi tersirat.
4.     Pelajar digalakkan menulis rumusan menggunakan teknik ataupun panduan yang diberi agar dapat membantu pelajar untuk melonjakkan diri untuk memperoleh markah cemerlang.

Panduan Menulis Rumusan


Bahagian Pendahuluan

      i.        Pelajar digalakkan menulis pendahuluan dalam sebaris ayat saja.
     ii.        Pelajar digalakkan supaya menukar arahan soalan dengan menggunakan perkataan yang bersinonim (sama maksud) dengan kata atau frasa tersebut.

Contoh:
(a) Faktor : sebab, punca
(b) Kesan : Implikasi, akibat
(c) Langkah : Usaha, cara

    iii.        Pelajar tidak perlu menulis kembali arahan atau kata kunci kedua dalam bahagian pendahuluan.
    iv.        Pelajar perlu menulis skop petikan untuk melengkapkan pendahuluan.
     v.        Formula rumusan :
Petikan membincangkan _(kata kunci pertama – tukar perkataan sinonim) dalam__(skop petikan) .

  
Menulis Isi-isi tersurat
      i.        Pelajar boleh mengenal pasti isi-isi tersurat yang terdapat di dalam petikan seperti mana arahan atau kata kunci pertama dalam soalan.
     ii.        Pelajar diingatkan bahawa di dalam petikan soalan kelazimannya terdapat 10 isi.
    iii.        Bukan semua isi tersurat harus ditulis kembali oleh pelajar. Pelajar hanya disarankan agar menulis maksimum tujuh isi tersurat.
    iv.        Isi-isi tersurat boleh dikenal pasti dengan menandai atau menggarisi ataupun membuat blok menggunakan pen berwarna.
     v.        Pelajar digalakkan menulis isi tersurat dengan menyusun mengikut tertib dengan menggunakan ayat yang gramatis dan lengkap.
    vi.        Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu, dan sebagainya.
   vii.        Hal ini dikenal pasti dapat membantu pelajar untuk boleh menjimatkan bilangan patah perkataan yang ditulis.
  viii.        Pelajar boleh menyalin semula ayat sama ada mengikut baris ataupun menyalin sebahagian ayat di dalam petikan tetapi pelajar dilarang menyalin bulat-bulat daripada petikan.
    ix.        Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.

Menulis Isi-isi Tersirat
      i.        Pelajar digalakkan membina isi-isi tersirat berdasarkan arahan atau kata kunci kedua dalam soalan.
     ii.        Pelajar perlu mematuhi arahan soalan iaitu isi tersirat merupakan isi yang tidak terdapat di dalam petikan yang diberi.
    iii.        Sekiranya pelajar menulis isi tersirat berdasarkan petikan, tiada markah untuk isi tersebut.
    iv.        Pelajar boleh mengemukakan dua, tiga atau empat isi tersirat tetapi sekurang-kurangnya tiga isi tersirat.
     v.        Pelajar digalakkan mengolah ayat dengan menggunakan ayat sendiri dengan syarat ayat tersebut hendaklah gramatis dan lengkap.
    vi.        Pelajar digalakkan menggabungkan isi-isi tersurat dengan menggunakan kata hubung atau penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, sehubungan itu, dalam pada itu dan sebagainya.
   vii.        Pelajar hendaklah memastikan isi-isi yang ditulis memenuhi arahan atau kata kunci dalam soalan.


Penutup (Kesimpulan)
      i.        Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup sebagai kesimpulan dalam rumusan.
     ii.        Pelajar disarankan supaya menulis ayat penutup ini dalam bentuk dua bahagian iaitu:
a) Ayat berbentuk cadangan
b) Ayat berbenuk harapan
    iii.        Pelajar dikehendaki menulis ayat berbentuk cadangan dengan menyatakan kesan, akibat, atau implikasi kepada tema petikan.
    iv.        Seterusnya, pelajar hendaklah menyatakan ayat berbentuk harapan dengan menggunakan kata hubung supaya atau agar sebagai pelengkap kepada ayat penutup tersebut.
     v.        Formula kesimpulan iaitu:

Tema petikan + Ayat berbentuk cadangan (supaya/agar) Ayat berbentuk harapan.

       
  
Pemerengganan dalam Rumusan

Dari segi binaan pemerengganan, pelajar bebas menulis rumusan sama ada menulisnya dalam satu, dua, tiga ataupun empat perenggan.

INGAT! Dalam penulisan pemerengganan rumusan, tidak ada satu format khusus tentang bilangan pemerengganan kerana hal ini tidak menjejaskan markah pelajar. Namun, sewajarnya pelajar mampu mengemukakan rumusan dalam persembahan yang berkesan.

Namun demikian, pelajar digalakkan supaya menulis rumusan dalam empat perenggan seperti cadangan berikut :
a) Pemerengganan 1 – Pendahuluan
b) Pemerengganan 2 – Isi-isi tersurat
c) Pemerengganan 3 – Isi-isi tersirat (T)
d) Pemerengganan 4 – Penutup (Kesimpulan)


Panduan Mengira Perkataan dalam Rumusan

Pelajar digalakkan supaya mengingati panduan mengira perkataan dalam rumusan, perkataan yang dikira sebagai satu perkataan seperti berikut :
a) Tarikh
b) Gelaran
c) Nama khas
d) Perkataan berulang (kata ganda)
e) Penggunaan kata depan ‘di’ dan ‘ke’
f) Angka yang ditulis dalam bentuk nombor atau perkataan


Pemarkahan dalam Rumusan
1.     Bahagian ini memperuntukkan 30 markah iaitu:
Isi 20 markah
Bahasa 10 markah

2.     Pembahagian markah mengikut bahagian ialah:
Pengenalan 2 markah
Isi tersurat (S) 1 isi : 2 markah
Isi tersirat (T) 1 isi : 2 markah
Penutup/Kesimpulan 2 markah

3.     Dalam rumusan, pelajar harus mengemukakan 10 isi untuk mendapat markah penuh isi iaitu 20 markah.

4.     Dalam aspek bahasa, markah diperuntukkan 10 markah. Pemberian markah bergantung kepada jumlah markah yang isi yang diperoleh.

5.     Sekiranya pelajar memperoleh markah isi sebanyak 20 markah, markah maksimum aspek bahasa selayaknya 10 markah.

6.     INGAT! Pelajar tidak semestinya memperoleh separuh daripada markah isi secara automatik.

7.     Hal ini perlu ditentukan setelah pemeriksa berpuas hati dengan jawapan pelajar. Aspek bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata, tanda baca dan sebagainya akan diteliti sebelum markah untuk bahagian bahasa diberikan.

8.     Dalam markah bahasa, sekiranya pelajar menulis rumusan dengan menggunakan bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata yang baik, tepat, dan lancar dan tidak terdapat kesalahan bahasa dan tanda baca, pelajar layak mendapat markah tambahan untuk aspek bahasa sebanyak 1 markah.

9.     Sekiranya pelajar berbuat sebaliknya, 1 markah akan ditolak daripada keseluruhan markah bahasa yang diperuntukkan.

10.  Sehubungan itu, pelajar harus ingat bahawa penilaian dalam rumusan bukan sahaja dinilai dari aspek isi-isi yang dikemukakan oleh pelajar.

11.  Pelajar harus mengetahui bahawa aspek bahasa seperti penggunaan istilah dan kosa kata ayat untuk memperlihatkan pertauatan idea atau wacana yang sesuai dan idea yang mengikut urutan dan sebagainya amat dititikberatkan oleh pemeriksa.

12.  Pelajar harus mematuhi bilangan perkataan yang dibenarkan hanyalah 120 patah perkataan. Isi atau kesimpulan yang ditulis selepas itu tidak akan dinilai.

13.  Sekiranya pelajar menulis rumusan tidak mencukupi bilangan yang diarahkan iaitu 120 patah perkataan atau kurang daripada itu, markah tidak ditolak.


Aspek Kelemahan Pelajar dalam Penulisan Rumusan

1.     Pelajar dikenal pasti menulis semula arahan atau kata kunci soalan tanpa menukarkannya dengan perkataan lain yang bermaksud sama(sinonim).

2.     Semasa menulis isi tersurat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan arahan atau kata kunci pertama di dalam petikan.

3.     Pelajar menulis isi tersurat berulang-ulang.

4.     Pelajar bukannya menulis fakta tetapi menjadikan contoh atupun huraian sebagai isi tersurat.

5.     Semasa menulis isi tersirat, didapati pelajar menulis isi yang tidak tepat dengan dengan arahan atau kata kunci kedua dalam petikan.

6.     Pelajar boleh mengenal pasti isi tersirat berdasarkan isi tersurat yang disenaraikan dengan syarat mematuhi arahan atau kata kunci kedua di dalam petikan.

7.     Pelajar tidak menulis kedua-dua bahagian yang dikehendaki dalam kesimpulan (ayat berbentuk cadangan dan ayat berbentuk harapan.

8.     Pelajar menulis kesimpulan dalam rumusan dengan membina dua ayat ataupun lebih ayat.

9.     Pelajar menyalin ayat bulat-bulat daripada petikan.

10.  Menulis rumusan dengan menggunakan ayat yang tidak gramatis, ayat tergantung, ayat tidak lengkap dan sebagainya.

11.  Menulis rumusan melebihi 120 patah perkataan.


No comments:

Post a Comment