I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, November 2, 2014

NOTA TAJUK 1 : Pembahagian Subjek dan Predikat.

Umumnya, penutur asli sesuatu bahasa mempunyai kecekapan berbahasa atau daya pengetahuan untuk mengetahui struktur unsur atau struktur konstituen setiap ayat dalam bahasanya, iaitu melalui kebolehannya memenggal ayat kepada bahagian-bahagiannya.


Sebagai contoh, bagi penutur asli bahasa Inggeris, sekiranya ayat seperti 1 hendak dipenggal menjadi dua bahagian unsur frasa, maka pemenggalan itu akan menghasilkan unsur 2 dan 3,

1. The doctor sees about 100 patients each day.
2. the doctor
3. sees about 100 patients each day

Demikian juga bagi penutur asli bahasa Melayu, ayat seperti 4 dapat, dengan mudah dipenggal untuk menghasilkan unsur frasa 5 dan 6,

4. Petani itu membajak sawahnya setiap hari.
5. petani itu
6. membajak sawahnya setiap hari

Pemenggalan ayat seperti yang dilakukan di atas, secara tradisi dikenali sebagai pemenggalan frasa subjek dan frasa predikat. Bagi contoh ayat 1, frasa subjeknya ialah the doctor, manakala frasa predikatnya ialah sees about 100 patients each day.

Bagi ayat 4 pula, frasa subjek ialah petani itu, manakala frasa predikat ialah membajak sawahnya setiap hari. Beberapa contoh lain pemenggalan ayat kepada frasa subjek dan predikat dapat diberikan seperti yang berikut:

Subjek                                             Predikat
7. Ali                                                guru sementara di sekolah itu.
8. Anak Pak Osman                             menjawat jawatan baharu.

Ternyata bahawa apa yang dikatakan sebagai subjek kepada sesuatu bentuk ayat ialah konstituen, sama ada terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan, yang bersifat frasa nama dan menjadi unsur yang diterangkan.

Predikat pula  ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.

Dalam kebanyakan bahasa, subjek setiap ayat hanyalah terdiri daripada frasa nama. Oleh itu, contoh seperti yang berikut tidak dapat diterima sebagai ayat dalam bahasa Melayu oleh sebab subjeknya tidak mengandungi frasa nama.


Subjek                                                Predikat
9. Gemuk                                             sekali pergi ke sekolah.
10. Sedang                                           menggosok kain baju pagi tadi.
11. Tinggi                                             sungguh membina bangunan itu.
12. Tertidur                                          menjadi kegemarannya.  


Kembali kepada contoh ayat 4 yang diberikan di atas, iaitu Petani itu membajak sawahnya setiap hari, kita dapati unsur frasa subjeknya, iaitu petani itu, terdiri daripada dua perkataan sahaja, iaitu petani danitu. Sebaliknya, bagi frasa predikatnya pula, membajak sawahnya setiap hari, unsurnya kelihatan lebih kompleks, iaitu terdiri daripada 13, 14, dan 15.

13. membajak
14. sawahnya
15. setiap hari

Jelas bahawa 13 mengandungi satu unsur sahaja, manakala 14 mengandungi dua unsur, iaitu sawah dannya. Demikian juga 15 mengandungi dua unsur, iaitu setiap dan hari. Binaan ayat yang terdiri daripada bahagian subjek dan predikat ini dapat diperjelas melalui rajah pohon, seperti yang berikut :



Pembahagian atau pemenggalan kepada frasa subjek dan predikat bagi sesuatu ayat tidak boleh dilakukan tanpa peraturan. Dalam ayat (a), unsur itu membajak, misalnya, tidak boleh digabungkan untuk menjadi unsur sesuatu binaan sebab bentuk itu dan membajak termasuk ke dalam kelompok unsur yang berasingan.

Oleh itu, ayat (a) tidak mungkin dapat dipenggal dengan memisahkan petani sahaja sebagai frasa subjek, dan itu membajak sawahnya setiap hari sebagai frasa predikat. Demikian juga unsur petani itu membajaktidak boleh dikelompokkan menjadi frasa subjek, dan sawahnya setiap hari menjadi frasa predikat.

Pola struktur ayat, seperti yang terdapat dalam ayat (a), tentunya tidak terhad pada satu ayat sahaja, bahkan dalam bahasa Melayu banyak ayat dengan struktur binaan yang serupa seperti ayat (a) masih dapat dibentuk. Sebagai contoh, ayat-ayat berikut dikatakan mempunyai struktur binaan seperti ayat (a).

16. Pemuda itu mengecat rumahnya setiap tahun.
17. Pemudi itu mencuci pakaiannya setiap pagi.
18. Penggosok itu memandikan rumahnya setiap saat. 

Antara ayat 16-18, kita tentu mendapati ayat 18 agak ganjil, bukan sahaja pilihan kata-katanya, bahkan juga maknanya. Namun, sebagai satu binaan ayat dalam tatabahasa Melayu, ayat 18 masih dianggap gramatis kerana mematuhi peraturan atau rumus binaan ayat bahasa Melayu. Sebaliknya ayat 19 berikut ini dianggap tidak gramatis sebab perkataan-perkataannya, walaupun memang perkataan bahasa Melayu, tidak pula tersusun mengikut rumus struktur ayat bahasa Melayu.

19. Setiap mengecat tahun pemuda itu rumahnya. 

Kesimpulan yang dapat kita buat ialah pengetahuan tentang struktur unsur ayat sesuatu bahasa yang ada pada seseorang penutur asli itu membolehkan ia mengenal pasti dan menentukan ayat yang gramatis daripada yang tidak gramatis dalam bahasanya

No comments:

Post a Comment